PUTRAJAYA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan pengundi di Tanjung Piai bahawa memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) tidak akan memberikan manfaat kepada mereka.
Ini kerana kata Mahathir, kemenangan calon MCA Wee Jeck Seng tidak akan mengubah tampuk kepimpinan kerajaan negeri Johor apatah lagi kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
“Mereka (pembangkang) menang pun, mereka tak boleh buat apa sebab tak boleh tukar kerajaan Johor dan pusat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Negara di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, perdana menteri berkata dirinya akan turun berkempen di Tanjung Piai untuk menyeru pengundi di sana mengenai perkara itu.
“Terutamanya kemenangan PH bermakna janji-janji kita boleh ditunaikan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kehadiran Mahathir ke Tanjung Piai akan menaikkan moral kem PH dalam kempen pilihan raya yang bermula kelmarin.
PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas.
Karmaine yang juga Ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai ditentang calon Gerakan, Wendy Subramaniam; calon BN, Wee Jeck Seng; Presiden Berjasa, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan calon bebas, Faridah Aryani Abdul Ghafar serta Ang Chuan Lok.
PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr. Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu. – FMT