KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima kunjungan Presiden Iran, Hassan Rouhani, dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, secara berasingan di Istana Negara, di sini, hari ini.
Kedua-dua pemimpin terbabit kini berada di ibu negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 yang bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Kunjungan itu adalah yang pertama bagi kedua-dua pemimpin berkenaan dengan Seri Paduka sejak Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari lalu.
Dalam pertemuan 20 minit dengan Rouhani yang bermula pada jam 5.35 petang, pemimpin Iran itu dan Seri Paduka membincangkan langkah meningkatkan lagi hubungan dua hala serta perdagangan antara kedua-dua negara.
Perbincangan itu juga menyentuh keperluan lebih banyak usaha bagi Malaysia dan Iran mengenal pasti serta membangunkan kerjasama yang berpotensi dalam perdagangan dan pelaburan untuk manfaat kedua-dua negara.
Sementara itu, dalam pertemuan selama 30 minit dengan Erdogan yang bermula jam 6.47 petang pula, Seri Paduka dan Presiden Turki itu membincangkan mengenai keperluan bagi sektor swasta kedua-dua negara memainkan peranan lebih aktif dalam meneroka peluang perdagangan serta pelaburan di Malaysia dan Turki, selain mengukuhkan lagi hubungan dua hala.
Dalam pertemuan itu, Al-Sultan Abdullah juga menggalakkan dan mempelawa sektor swasta Turki untuk melabur di Malaysia, terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Seri Paduka dijadual merasmikan dan menyampaikan titah ucapan pada upacara pembukaan Sidang Kemuncak KL 2019, esok.
Sidang kemuncak itu antara lain mencari penyelesaian baharu untuk masalah dihadapi dunia Islam dan menyumbang ke arah menambah baik keadaan umat serta negara Islam.