MANILA – Kontinjen Malaysia meneruskan aksi hambar pada hari kelima Sukan SEA ke-30 di Filipina, setelah sekadar menambah dua pingat emas, masing-masing menerusi acara pencak silat dan petanque, pada Khamis.
Sumbangan dua emas berkenaan, selain tambahan lima perak dan dua gangsa menyaksikan Malaysia turun dua anak tangga ke kedudukan kelima, dengan kutipan pingat keseluruhan 23 emas, 16 perak dan 24 gangsa.
Lima perak berkenaan diperolehi dalam acara petanque (triples wanita), lawan pedang (Epee individu lelaki), tenping boling (beregu campuran), judo (66kg lelaki) dan acara sambo 90kg lelaki, manakala dua gangsa diraih menerusi acara pencak silat (kelas Putera B 40-45kg) serta acara renang (200m kuak dada wanita).
Dengan berbaki enam hari sebelum upacara penutupan, Filipina hampir pasti dinobatkan juara keseluruhan buat kali kedua di laman sendiri, selepas edisi 2005 dengan kutipan 63 emas, 45 perak dan 34 gangsa.
Vietnam juara keseluruhan edisi 2003 di laman sendiri, kekal di tangga kedua dengan kutipan pingat keseluruhan 31 emas, 35 perak dan 41 gangsa, manakala Indonesia naik dua anak tangga ke kedudukan ketiga setelah mengutip 27 emas, 36 perak dan 39 gangsa.
Pada aksi semalam, skuad pencak silat negara menghadiahkan kilauan pingat emas pertama, menerusi pesilat kebangsaan, Zulfakar Zulfazly yang berjaya mengatasi pesilat Indonesia, Hanifan Yudani Kusumah menerusi keputusan 3-2, dalam kelas Putera D (60-65kg) di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic.
Emas kedua hadir dalam suasana yang berbeza setelah trio petanque lelaki yang dibarisi Muhammad Hafizuddin Mat Daud, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Saiful Bahri Musmin, diheret bertarung hampir tiga jam, sebelum menumbangkan juara bertahan, Thailand menerusi keputusan dramatik 13-11 pada aksi final triples lelaki di CDC Lot, yang terletak bertentangan Royce Hotel and Casino, Clark.
Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari keenam, hari ini dalam beberapa acara, antaranya terjun, renang, marathon, berbasikal, pentathlon, muay thai dan petanque.