KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menggesa agar Muafakat Nasional, iaitu gagasan kerjasama di antara parti itu dan PAS, diangkat menjadi sebuah institusi seperti Barisan Nasional (BN) yang dianggotai pelbagai parti.
Sambil meminta kepemimpinan tertinggi parti menyegerakan usaha berkenaan, beliau berkata, ia akan menjadikan Muafakat Nasional bukan hanya dianggotai UMNO dan PAS, tetapi juga komponen BN seperti MCA dan MIC.
Menerusi langkah itu juga, katanya, gagasan berkenaan boleh turut disertai parti-parti lain atau kumpulan yang menyokong dan mesra BN.
Beliau menjelaskan, sudah tiba masanya UMNO bergerak dari era Parti Perikatan selama 21 tahun (1952 hingga 1973) dan kemudian era BN selama hampir 46 tahun (1973 hingga sekarang) kepada era Muafakat Nasional.
Asyraf Wajdi turut mengingatkan pimpinan tertinggi parti agar tidak sesekali membuat onar selepas berpakat dengan PAS dan mempersia-siakan harapan rakyat.
āJangan memperjudikan nasib rakyat. Muafakat Nasional ini bukan milik eksklusif mana-mana pimpinan mahupun parti, tetapi ia adalah manifestasi suara hati akar umbi yang mahu umat berpadu.
āIa cerminan denyut nadi rakyat yang mahu Islam meneraju. Ia juga isyarat rakyat mahukan Malaysia dengan rakyatnya yang pelbagai bangsa dan agama, kembali bersatu,ā katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Katanya, kerjasama UMNO dan PAS di bawah Muafakat Nasional tidak pernah bercita-cita mendirikan kerajaan yang hanya didominasi orang Melayu dan Islam semata-mata.
āMuafakat Nasional juga tidak wajar mengesampingkan kaum-kaum lain yang sudah menjadi sebahagian daripada warga tanah air tercinta,ā katanya.
Asyraf Wajid menegaskan, penerimaan keindukan Melayu, Bumiputera dan Islam oleh bukan Melayu, membuktikan istilah pendatang tidak lagi wujud di negara ini.
āMalaysia ini sudah diperakui milik semua. Semuanya ada tanggungjawab dan hak sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Konsep keindukan ini tidak menjadikan UMNO tuan parti lain,ā katanya.
Katanya, Malaysia boleh terus berjaya, kekal stabil dan harmoni apabila kestabilan politik negara dicapai dengan kebijaksaan kepemimpinan mengurus tadbir kerencaman dan kemajmukan rakyat yang ditunjangi sifat keindukan Melayu, Bumiputera dan Islam. – BH Online