PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disaran meletakkan jawatan susulan tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad berhubung pemansuhan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata tindakan Syed Saddiq mengkritik JPA disifatkan sebagai lakonan semata-mata.
“Syed Saddiq memang pandai berlakon apabila beliau secara populis mengkritik JPA kononnya. Syed Saddiq tak faham ke prinsip ‘tanggungjawab kolektif’ yang diamalkan oleh jemaah menteri?
“Kalau mana-mana menteri tak sehaluan dengan PM, hanya satu jalan keluar iaitu letak jawatan. Itulah namanya sistem ‘westminster’ yang diamalkan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Syed Saddiq meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap pemansuhan BIPK melalui klip video di Twitter sambil menyifatkan keputusan itu memberi kesan kepada ramai anak muda, tahun depan.
Beliau yang juga ketua Pemuda PPBM menyarankan gaji menteri diturunkan sebanyak 10% lagi sehingga masalah tersebut selesai.
Tahun lalu, kerajaan sudah pun melaksanakan pemotong 10% gaji menteri yang disalurkan kepada pendapatan kerajaan.
Terdahulu, JPA memaklumkan pemansuhan itu tidak menjejaskan penerima sedia ada, sebaliknya ia hanya dilaksanakan ke atas lantikan baru bermula tahun depan.
Sementara itu, Wee berkata sebagai menteri, Syed Saddiq sepatutnya menyuarakan pandangannya itu dalam mesyuarat Kabinet bukan melenting di luar.
“Sedarkah Syed Saddiq bahawa JPA merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mana bosnya adalah Dr. Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail?
“Mana mungkin polisi baru ini tidak dibincang di Kabinet atau sekurang-kurangnya di dalam jawatankuasa yang dipengerusikan serta dipersetujui oleh PM sendiri?
“Kalau PM dah bersetuju dengan kertas kerja JPA, apa lagi yang nak dibantah oleh Syed Saddiq? Kalau tak puas hati dan nak buat bising serta minta dikaji semula keputusan, memang boleh dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan dibuat keputusan secara kolektif.”
Wee berkata tindakan tidak adil kerajaan yang memansuhkan elaun kritikal itu dilihat seperti membuli penjawat awam yang baru memasuki alam pekerjaan.
“Daripada kerajaan PH bersungguh memansuhkan elaun ini, kenapa tidak hentikan projek-projek seperti kereta nasional ketiga dan kereta terbang? Kedua-dua projek itu bukanlah satu keperluan penting kepada rakyat yang ketika ini bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.
“Kerajaan PH diseru mendahulukan rakyat dan tidak lagi bersandirwara. Perangai zaman pembangkang sudah tidak sesuai lagi dipraktikkan apabila PH jadi kerajaan,” katanya. – FMT