KUALA LUMPUR – Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abd Hadi dan atlet wushu, Loh Choon How masing-masing dinobatkan penerima Anugerah Olimpian Terbaik 2019 dalam Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-26, sebentar tadi.
Farah dan Choon How masing-masing menerima wang tunai RM10,000 beserta pingat Olimpian tajaan Syarikat Coca-Cola dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan hadiah.
“MOM adalah badan yang menerajui pembabitan atlet di sukan temasya, majlis ahli lembaga eksekutif sebulat suara memilih mereka atas pencapaian terbaik di Sukan SEA baru-baru ini,” kata Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
Pada temasya Sukan SEA Filipina baru-baru ini, Farah membuktikan kemampuannya dengan meraih tiga emas dalam acara individu keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai manakala Choon How menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen negara dalam acara Taijiquan.
Beliau kemudiannya menambah pingat emas dalam acara Taijijian.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menerima Anugerah Khas Diraja MOM atas pembabitan dan sumbangan Baginda dalam arena sukan tanah air terutamanya bola sepak, hoki dan polo.
Trofi berkenaan dibawa naik ke pentas oleh tiga pemenang pingat Sukan Olimpik, Cheah Soon Kit (Atlanta 1996), Datuk Lee Chong Wei (Beijing 2008, Rio 2016) dan Pandelela Rinong Pamg (London 2012, Rio 2016).
Lagenda badminton negara, Chong Wei kemudiannya menyerahkan trofi berkenaan kepada Norza sebelum diserahkan kepada Baginda.
Senarai pemenang anugerah
Olimpian: Farah Ann Abd Hadi, Loh Choon How
Trofi IOC: Perbadanan Stadium Malaysia
Dewan Kemasyhuran MOM
Bekas Pegawai Kebangsaan
1. Almarhum KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah AlMust’in Billah (Bola Sepak)
2. Datuk Sieh Kok Chi (Polo Air & MOM)
3. Datuk Roland Wong Choon Tat (Badminton)
4. Datuk Seri Panglima (B) Abdul Manap Ibrahim (hoki)
Bekas Atlet Kebangsaan: SA Azman (Tenis)
Anugerah Wanita dan Sukan MOM: Toh Puan Zainon Hussein
Anugerah Khas Diraja MOM: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah