PETALING JAYA – Hanipa Maidin tidak bersetuju dengan tindakan polis memohon perintah mahkamah untuk kumpulan pendidikan Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tidak meneruskan persidangan membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular esok.
Timbalan menteri undang-undang itu mengingatkan semua warganegara, tanpa mengira kaum atau agama, berhak menyuarakan kemarahan dan kekecewaan terhadap kerajaan.
“Saya mungkin tidak bersetuju dengan saudara-saudara saya dalam Dong Zong, tetapi saya menghargai hak asasi mereka untuk menyuarakan pandangan terhadap dasar-dasar kerajaan,” katanya kepada FMT.
Hanipa juga tidak bersetuju dengan pandangan mahu Dong Zong diisytiharkan sebagai entiti haram.
“Saya hanya memandang seluruh isu ini dari segi keadilan,” kata bekas peguam itu.
Polis memohon perintah mahkamah itu bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, selepas menerima banyak laporan polis dari seluruh negara berhubung persidangan itu.
“Polis akan ambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang enggan mematuhinya,” katanya dalam kenyataan,” kata Ketua Polis Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Dong Zong berkata mereka akan mematuhi perintah mahkamah dan membatalkan sidang itu.
Persidangan itu, yang dijadualkan berlangsung di Kolej New Era di Kajang pada 1 tengah hari esok, mahu membincangkan pengenalan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular.
Pengkritik memberi amaran persidangan itu boleh mengundang reaksi daripada pertubuhan-pertubuhan Melayu.
Sementara itu, Pemuda DAP juga tidak bersetuju dengan tindakan polis memohon perintah mahkamah terhadap acara Dong Zong, mengatakan ia menyalahi hak-hak perlembagaan mereka mengikut Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pemuda, Howard Lee Chuan How berkata kerajaan mengadakan libat urus dengan Dong Zong di beberapa peringkat dan cara megenai acara esok.
“Meskipun polis berhak mempertimbangkan dasar dan risiko keselamatan, ia tidak sepatutnya mengambil tindakan yang sama seperti mengekang kebebasan bersuara, terutama mengenai perkara berkaitan dasar-dasar awam,” katanya dalam kenyataan.
Lee berkata keputusan polis itu menetapkan “duluan berbahaya” untuk Malaysia Baru dan berlebihan.
“Polis harus melindungi hak Dong Zong untuk berhimpun secara aman, seperti penganjur Kongres Maruah Melayu dilindungi,” katanya. – FMT