Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Paderi Jumpa Berlian 706...

FREETOWN - Emmanuel Momoh, seorang paderi di Sierra Leone dilaporkan menemui sebutir berlian...

Malaysia Bakal Terima Bekalan...

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), hari ini, bersetuju memberi...

Abang Polis Senyum Manis,...

RATA-RATA rakyat Malaysia kini berasa sangat teruja atas pengalaman mereka mengundi pada Pilihan...

Bakal ‘Hilang’ Suami, Intan...

SETIAP perkara yang terjadi, pasti ada hikmah di sebaliknya. Kadang-kala ujian yang datang...

Harga Bawang Merah Naik Mendadak

KUALA LUMPUR – Orang ramai terus merungut berikutan kenaikan mendadak harga bawang merah India sejak beberapa minggu lalu kerana bekalan didakwa semakin kurang.

Pemborong dan peruncit pula tidak ada pilihan, terpaksa meletakkan harga yang mahal kerana mendakwa mereka juga memperoleh bekalan daripada pembekal pada harga tinggi.

Tinjauan BH di beberapa negeri semalam mendapati harga runcit sekilogram bawang merah India antara RM10 hingga RM15, berbanding antara RM5 hingga RM8 sebelum ini.

Pemborong di Kangar, Shahrudi Abidin, 42, berkata tidak mustahil harga bawang merah India melonjak kepada RM20 sekilogram dalam masa terdekat jika masalah bekalan tidak diatasi segera.

“Tiga hari lalu, pekerja saya terpaksa ke Pulau Pinang bagi mencari bawang merah, namun tidak mendapat sebarang stok kerana pembekal di negeri itu juga kehabisan bekalan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Bintong di sini, semalam.

Di sekitar Kangar, peruncit menjual bawang merah antara RM10 hingga RM12 sekilogram.

Di Seremban, peniaga makanan, Amira Ahmad, 53, berkata tidak pernah harga bawang merah naik sehingga antara RM11 ke RM14 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini.

Beliau menggunakan bawang jenis lain seperti bawang dari Belanda, Pakistan dan China untuk keperluan masakan harian.

Abdul Rashid Ahmad, 65, dari Taman Seri Pagi berkata, harga bawang merah mula naik sejak awal November lalu, tetapi kenaikannya dalam lingkungan RM9 sekilogram.

Peruncit di Taman Matahari Height, S Shanti, 50, berkata sukar mendapatkan bekalan bawang merah dari India ketika ini.

“Sudah lebih sebulan saya tidak menjual bawang merah itu kerana harganya mahal,” katanya.

Di Alor Setar, Tinjauan di Pasar Besar mendapati harga bahan itu sekitar RM12 sekilogram.

Peniaga, Zaiton Saad, 55, berkata dia terpaksa menjual bawang merah pada harga itu akibat tindakan pemborong menaikkan harganya sejak sebulan lalu.

“Hari ini (semalam) pemborong menjual 1.4 kilogram (kg) bawang merah pada harga RM11 berbanding hanya RM3 sebelum ini,” katanya.

Pemborong, Tan Gim Teong, 45, mendakwa harga bawang ketika ini adalah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

“Bawang merah saya jual pada harga RM10 seguni kecil yang beratnya kira-kira 1.2kg, bawang besar pula RM5 lebih dan bawang putih RM7.20.


“Cuma bawang Holland murah sedikit iaitu RM16.50 bagi setiap guni 8kg,” katanya.

Di Kuala Lumpur, peniaga terpaksa menaikkan harga bawang merah sejak beberapa bulan lalu kerana bekalan terhad.

Rata-rata peruncit di sekitar Bangsar menjual bawang merah antara RM12 hingga RM15 sekilogram.

“Bawang besar terpaksa dijual RM5 sekilogram, berbanding sebelum ini sekitar RM2 sahaja, manakala bawang merah hanya RM8, tetapi sekarang dijual dengan harga RM13 iaitu peningkatan RM5,” kata peruncit, Shafeeq Mohammed, 39.

Peniaga ayam penyet, Indah Sakinah Marhum Sani, 42, berkata dia terpaksa membeli juga bawang merah walaupun sedar harganya semakin mahal sejak sebulan lalu.

Di Pasar Segar Terus Segar, harga bawang merah India naik kepada RM7 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini.

Di Ipoh, peniaga Pasar Besar Ipoh, Noorjahan Mohd Ibrahim, 41, berkata dia terpaksa menaikkan harga bawang merah RM10 satu kg berbanding RM5 sekilogram sejak dua minggu lalu.

“Kalau sebelum ini, saya menjual bawang besar dalam harga cuma RM2.50 hingga RM3 sekilogram (kg) tetapi sejak dua bulan lalu kita terpaksa menaikkan harga kepada RM7 sekilogram,” katanya yang setiap hari terpaksa menghadapi rungutan pengguna.

Noorjahan berkata, dia terpaksa mengambil bekalan bawang besar dari China dan Pakistan kerana terputus bekalan dari India sejak dua bulan lalu.

Di Kuala Terengganu, peniaga Pasar Payang, Khatijah Chik, 57, berkata harga bawang merah naik mendadak sehingga terpaksa dijual RM12 sekilogram.

“Harga yang kami ambil daripada pembekal adalah RM40 bagi 4kg dan itu belum berat bersih lagi (sebelum dipilih yang tidak elok).

“Ini adalah kenaikan harga bawang merah paling tinggi sepanjang lebih 20 tahun saya berniaga dan biasanya kami jual antara RM3 hingga RM4 sekilogram,” katanya.

Tinjauan di beberapa pasar raya besar mendapati tiada bawang merah India dijual berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan daripada pemborong. – BH Online

Kategori