GEORGETOWN – Satu laporan polis dibuat terhadap infografik yang didakwa mengandungi kenyataan berbaur fitnah ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung fungsi dan had waktu operasi masjid di negeri ini.
Laporan itu dibuat oleh Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini pada jam 12 tengah hari tadi.
Beliau turut ditemani oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan beberapa ahli Pakatan Harapan Pulau Pinang.
Zahar berkata, kenyataan berkenaan adalah fitnah dan pihaknya mahu polis menyiasat infografik itu kerana berkaitan dengan sensitiviti agama.
“Pengguna media sosial di Malaysia dianggarkan berjumlah 18 juta sehari. Fitnah ini boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di antara kaum di negara ini jika ia disebarkan setiap hari.
“Kon Yeow tidak pernah campur tangan dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang. Beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan dalam isu agama Islam di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Rayer berharap polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan huru-hara dan mengganggu ketenteraman masyarakat majmuk di negara ini.
“Saya juga menggesa Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran segera menyiasat dan menahan mereka bagi mengelakkan perkara ini tidak berleluasa,” katanya.
Infografik yang memaparkan gambar Kon Yeow dan kenyataan palsu tular di media sosial sejak dua hari lalu.
Terdahulu tular satu infografik memaparkan gambar Kon Yeow memakai songkok serta kenyataan ‘majoriti penduduk Pulau Pinang terdiri dari bukan Islam dan kebisingan masjid di waktu pagi mengganggu orang bukan Islam sedang nyenyak tidur dan juga mengganggu ketenteraman awam. Oleh itu kerajaan DAP mengehadkan aktiviti solat di masjid dan solat subuh tidak dibenarkan sama sekali’.
Infografik tersebut dibuat dipercayai susulan isu satu notis waktu operasi Masjid Jalan York yang dihadkan bermula jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam sahaja setiap hari tular di media sosial.
Notis yang bertarikh 24 Disember yang dikeluarkan pengerusi masjid tersebut akan berkuat kuasa pada 31 Disember ini. – Sinar Harian