Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Harga Minyak Petrol Naik...

PUTRAJAYA – Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac...

Najib Jejaki Warisan Ditinggalkan...

SERIAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjejaki langkah...

Keracunan Alkohol: 13 Serbuan,...

SHAH ALAM – Polis menahan 10 pengusaha serta pekerja kedai runcit dan kedai...

Lagu Daiyan Trisha Mahu...

SEBELUM menjadi artis popular, bakat pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha pada awalnya dikesan...

Kekang Kerapuhan Perpaduan Sesama Islam – Mufti WP

KUALA LUMPUR – Khutbah Jumaat khas sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini menyentuh soal kerapuhan perpaduan dalam kalangan negara Islam, yang dikhuatiri menular sehingga menggugat hubungan sesama umat Islam.

Dalam khutbah bertajuk Kejatuhan Kita: Apakah Puncanya, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, mengingatkan jemaah meskipun sesebuah peradaban tidak jatuh secara mengejut, proses berkenaan akan berlaku secara beransur-ansur.

Beliau memetik kata-kata Ibnu Khaldun dalam kitab nukilan cendekiawan Islam itu, al-Muqaddimah, mengatakan antara faktor dalaman kejatuhan sesebuah peradaban adalah kelunturan semangat dan himmah.

Pembentukan terlalu banyak kumpulan asabiyyah, kezaliman, ketidakadilan sosial dan kemewahan melenyapkan kesedaran beragama serta ketidakstabilan politik selain kelemahan pemerintah.

Zulkifli turut memetik kegusaran seorang penulis dalam bukunya bertajuk ‘Excellence Without a Soul’, antaranya berkisar masa depan anak muda di Amerika Syarikat (AS) yang lahir daripada pusat pengajian ternama, namun gagal dari segi modal insan.

Katanya, kegusaran itu turut dikongsi dalam kalangan dunia Islam, terhadap generasi Islam pada hari ini dan masa depan.

“Kami menyanjung tinggi dan menyambut penuh titah diraja, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung keperluan untuk tamadun Islam kembali bangkit mendepani cabaran semasa.

“Kita wajar mengakui bahawa sebahagian besar kita hanya melihat fenomena luaran untuk menyelesaikan masalah, walhal perkara pokok dan asas yang akan membawa penyelesaian ialah hal-hal dalaman.

“Semua masalah dalaman ini sudah pasti bermula daripada isu kesatuan dan perpaduan umat Islam.

“Secara asasnya, umat Islam disifatkan sebagai umat yang satu. Ini berdasarkan firman Allah, sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu, maka beribadahlah (kepada-Ku),” katanya ketika membacakan khutbah Jumaat khas di Pusat Konvesnyen Kuala Lumpur (KLCC).


Dalam khutbah itu, Zulkifli mengingatkan bahawa dalam Islam terdapat banyak larangan terhadap umatnya supaya tidak bersikap memecah belah, berperang dan bermusuhan sesama sendiri.

Beliau berkongsi firman Allah seperti terkandung dalam Surah Ali Imraan yang bermaksud, “berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah”.

“Begitu juga permusuhan sesama sendiri disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Arfajah bin Shuraih, bahawa Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya tangan Allah bersama dengan al-jama’ah. Dan sesungguhnya syaitan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri daripada jamaah (kelompok umat Islam),” katanya memetik riwayat Al-Nasa’ie.

Pada akhir khutbah itu, Zulkifli berkeyakinan bahawa dengan kehadiran pemimpin dunia Islam dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur kali ini bakal menjadi pencetus kepada anjakan paradigma perubahan kebangkitan kembali ummah.

“Pertama, bilangan yang ramai tidak akan menjamin apa-apa andai kita tidak bersatu. Perpaduan adalah kunci utama untuk ummah kembali bangkit.

“Kedua, tamadun sesuatu ummah tidak akan runtuh melainkan dengan masalah dalaman. Justeru, isu ini perlu diselesaikan, seiring dengan usaha perubahan secara holistik.

“Ketiga, perpecahan dan pergaduhan sesama umat Islam hanya akan merugikan kerana kita tidak berhadapan dengan musuh yang kuat, sebaliknya kesatuan kita yang semakin lemah,” katanya. – BH Online

Kategori