KOTA BHARU – Banjir gelombang kedua di Kelantan sudah bermula hari ini dengan jajahan Jeli menjadi kawasan pertama dinaiki air sejak lewat malam tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga jam 7.45 pagi tadi, sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Jeli.
Untuk peringkat pertama seramai 441 mangsa melibatkan 103 keluarga telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas.
Lima lagi PPS yang dibuka adalah di Dewan Kesedar dan Awam Pasti Sungai Satan, SK Kalai, Dewan Kesedar Pasti Bukit Lakota, Masjid Gemang dan SK Legeh tetapi masih belum ada penempatan mangsa.
Mangsa terdiri daripada 263 orang dewasa, 52 (warga emas), 154 (kanak-kanak), 24 (bayi) dan lapan orang kurang upaya.
Sementara itu, mengikut publicinfobanjir.water.gov.my paras air di Sungai Golok di Jenob sudah melepasi paras bahaya iaitu 25.30 meter (bahaya 23.50m) dan menunjukkan trend meningkat.
Empat sungai melepasi paras berjaga-jaga ialah Sungai Kelantan di Kusial berada pada bacaan 12.98m (berjaga-jaga 12m), Sungai Golok di Rantau Panjang pula 7.84m (berjaga-jaga 7m), Sungai Lebir di Tualang 28.81m (berjaga-jaga 27m) dan Sungai Pergau di Air Botol Jeli, 71.85m (berjaga-jaga 71.30m).