JOHOR BAHRU – Kerja pendawaian bangunan utama di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akan dimulakan tahun hadapan termasuk kerja baik pulih Unit Rawatan Rapi (ICU) yang musnah dalam kebakaran pada Oktober tahun 2016.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, memaklumkan perkara itu dalam kenyataan terbaharu dimuat naik dalam laman Facebook selepas menerima kunjungan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, hari ini.
Titah Sultan Ibrahim, baginda turut mencadangkan keperluan sebuah lagi hospital di Johor Bahru memandangkan berlaku peningkatan dari segi pesakit serta kesesakan di HSA pada masa sekarang.
“Menteri Kesihatan turut menyampaikan perkembangan semasa mengenai kerja penambahbaikan HSA antaranya membabitkan pendawaian bangunan utama sudah berusia lebih 70 tahun yang perlu ditambah baik dan kerja akan dimulakan pada tahun depan.
“Lokasi tragedi kebakaran ICU HSA yang terbakar pada Oktober 2016 akan diperbaiki. Saya mahukan perkhidmatan perubatan awam yang lebih baik untuk rakyat Johor,” titahnya dalam kenyataan itu.

Sultan Ibrahim turut bertitah, antara dibincangkan adalah mengenai perancangan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor yang bertumpu sepenuhnya kepada rawatan, penyelidikan dan pendidikan kanser.
“Wakil Asian American Medical Group (AAMG) yang menerajui projek ini, mengutarakan keperluan lebih ramai bilangan pakar kanser bagi memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik.
“Pusat Kanser itu dalam merealisasikan impian Almarhum Tunku Abdul Jalil yang sentiasa mahu membantu pesakit kanser,” titah baginda. – BH Online