KOTA KINABALU – Polis Sabah menumpaskan aktiviti perjudian dalam talian didalangi warga China yang berpangkalan di Bundusan, Penampang, kelmarin.
Serbuan secara berasingan dibuat bermula jam 6.15 petang ke tiga tiga kondominium sebelum 23 individu berusia 20 hingga 30-an ditahan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata serbuan dibuat susulan risikan yang berjaya mengenal pasti individu terbabit dalam aktiviti berkenaan.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium ketika enam lelaki dipercayai sedang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian ada di rumah berkenaan.
“Pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian dalam talian, termasuk 25 komputer riba, 16 papan kekunci, 23 tetikus, 25 alat pengecas, 55 telefon bimbit pelbagai jenama dan lima peranti pemindahan wang dirampas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Susulan itu, polis yang dibantu suspek menyerbu dua lagi kondominium di kawasan sama dan menahan 17 individu dipercayai sedang berehat di rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di kondominium kedua yang terletak bersebelahan kondominium pertama membawa kepada penahanan 10 lelaki. Di kondominium ketiga, terdapat tujuh suspek termasuk empat wanita juga sedang berehat,” katanya.
Zaini berkata, semua suspek yang ditahan adalah warga China termasuk 17 yang mempunyai dokumen perjalanan sah, manakala enam lagi tiada dokumen.
“Hasil siasatan lanjut, mereka dipercayai baru beberapa hari beroperasi dengan menjadikan Sabah sebagai pangkalan aktiviti perjudian membabitkan pelanggan di China. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan semua suspek direman sehingga Khamis ini,” katanya. – BH Online