KUALA LUMPUR – Kos penyelenggaraan sebuah kapal selam milik negara yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah RM100 juta setahun.
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, berkata kos itu meliputi perkhidmatan sokongan operasi serta logistik.
“Kos itu juga meliputi penyelenggaraan limbungan kapal selam milik TLDM di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Zahari Sarip yang ingin tahu kos yang diperuntukkan untuk menyelenggarakan kapal selam milik TLDM.
Menjawab soalan tambahan Zahari yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menambah bilangan kapal selam, Chin Tong menjelaskan perkara itu tidak berada dalam perancangan Kementerian Pertahanan setakat ini.
“… kita tidak bercadang untuk menambah bilangan kapal selam walaupun di Singapura dan Indonesia ada lima serta Vietnam enam kapal selam… kita akan kekalkan apa yang sedia ada,” katanya.