PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah selepas mendapati Hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak terkhilaf dalam membuat penemuan fakta.
Mengikut Tengku Maimun dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak terkhilaf apabila mendapati terdapat banyak percanggahan dan tindakan yang tidak mematuhi undang-undang pilihan raya, yang akhirnya memberi kesan kepada hasil keputusan pilihan raya.
“Mahkamah turut mengarahkan Anifah selaku perayu untuk membayar kos berjumlah RM70,000 kepada pihak yang mengemukakan petisyen (Datuk Karim Bujang),” katanya.
Turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Nallini Pathmanathan.
Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekaligus membenarkan petisyen pilihan raya raya dikemukakan bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) iaitu Karim.
Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.
Karim memfailkan petisyen pada 18 Jun tahun lalu bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya untuk Kimanis serta SPR sebagai responden kedua dan ketiga.
Pada PRU-14, 9 Mei tahun lalu, Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.
Anifah memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi. – BH Online