KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi yang pertama membentangkan ‘kad laporan’ pencapaian kementerian bagi tahun 2019.
Dalam satu taklimat dan sidang media khas hari ini, Menteri berkenaan Dr Maszlee Malik membentangkan pencapaian kementerian bertema “Pendidikan Untuk Semua”, yang menyaksikan KPM menutup jendela 2019 dengan lima fokus perubahan besar yang terkandung di dalamnya 53 inisiatif pembaharuan dalam sistem pendidikan negara.
“Tahun 2019 merupakan tahun permulaan kepada semua perubahan dan kita sasarkan tahun ini sebagai tahun penetapan asas yang kukuh untuk memastikan negara boleh bergerak ke arah sistem pendidikan yang inklusif dan berkualiti tinggi,” katanya.
Selaku penerima peruntukan terbesar belanjawan bagi 2019, lima fokus tersebut adalah ‘Mengembalikan Cinta ke Dalam Pendidikan; Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran; Autonomi dan Akauntabiliti; Malaysia Membaca; dan Manifesto.
Dalam kad laporan pencapaian setebal 40 muka surat itu, Maszlee memperincikan butiran pencapaian yang menyentuh segenap aspek pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan negara merangkumi pelajar, guru, infrastruktur, reformasi sistem, reformasi digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengajian tinggi dan siswazah, serta menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030.
Turut dbentangkan adalah pencapaian KPM dalam menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
“Masih banyak yang perlu kita lakukan (pembaharuan), dan ini hanyalah permulaan. Apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk anak-anak kita di sekolah dan universiti,” katanya pada sesi taklimat yang dihadiri ramai petugas media.