KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akan merasmikan serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, di Melaka, malam esok.
Keputusan itu dicapai selepas pertemuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, termasuk Mohamed Azmin di bangunan Parlimen, lewat petang tadi.
Anwar mengadakan perbincangan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PKR yang juga diadakan di lokasi sama.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, ketika mengesahkan perkembangan itu berkata, keputusan berkenaan dicapai selepas Anwar mendengar pandangan semua pihak yang hadir dalam pertemuan bersama ahli MPP.
“Kami telah bincangkan antara lain persiapan berkenaan kongres dan boleh saya maklumkan di sini bahawa Kongres AMK dan Wanita akan dirasmikan Mohamed Azmin pada Khamis, 5 Disember.
“Sementara itu, Kongres AMK dan Wanita akan ditutup oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada petang Jumaat.
“Semua pimpinan akan hadir (ke Kongres Nasional PKR di Melaka), kecuali yang ada urusan rasmi di luar dan Insya-Allah kongres tahun ini akan menampakkan kekuatan PKR yang jitu dan utuh,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.
Antara MPP lain yang bersama Mohamed Azmin pada pertemuan itu ialah Datuk Mohd Rashid Hasnon, Zuraida Kamaruddin, R Sivarasa, Tian Chua dan Amirudin Shari.
Azmin ketika ditemui sebelum pertemuan dengan Anwar itu berkata kehadiran beliau bersama ‘pasukannya’ itu adalah bagi berbincang dengan Anwar berhubung kedudukan parti dan persediaan Kongres Nasional PKR hujung minggu ini.
Krisis kepemimpinan PKR memuncak apabila kumpulan yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin merancang mengadakan satu himpunan berasingan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.
Ia susulan perpecahan dalam kalangan AMK, apabila kumpulan diketuai Timbalan Ketuanya, Muhammad Hilman Idham, mahu Mohamed Azmin merasmikan kongres sayap itu seperti tradisi parti, manakala Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bertegas supaya Dr. Wan Azizah merasmikannya, manakala Mohamed Azmin merasmikan kongres Wanita PKR.
Sementara itu, Akmal Nasrullah ketika ditemui mengalu-alukan hasil pertemuan itu yang meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan.
“Melihat Mohamed Azmin datang berjumpa dan memberi komitmen kepada kongres, jadi kita alu-alukan mana-mana pimpinan untuk hadir ke kongres,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Hilman dalam satu kenyataan meminta semua ahli AMK seluruh negara hadir ke Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.
“Isyarat penyatuan itu adalah mencerminkan langkah perdamaian yang dicapai menerusi resolusi untuk mengembalikan tradisi perasmian kongres dan konvensyen PKR supaya ia dilaksanakan oleh Mohamed Azmin,” katanya.
Katanya, pergerakan sayap muda PKR amat menghargai usaha kepemimpinan menyelesaikan kemelut perasmian kongres yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
“Seluruh kepemimpinan dan anggota AMK menyambut baik resolusi yang dicapai melalui perbincangan sebentar tadi (semalam) untuk mengembalikan tradisi serta konvensyen parti dengan Perasmian Kongres Nasional AMK dan Wanita 2019 oleh Timbalan Presiden pada 5 Disember ini.
“Kami juga mengalu-alukan keputusan untuk melaksanakan perasmian penutup bersama Kongres Nasional AMK dan Wanita oleh Dr Wan Azizah pada 6 Disember ini,” katanya. – BH Online