KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak pemimpin Islam memberi tumpuan membangunkan negara masing-masing sehingga mencapai status maju.
Perdana Menteri menegaskan, hanya dengan kemajuan Islam akan menjadi kuat dan mampu mempertahankan umatnya yang kini berdepan cabaran besar termasuk ditindas dan dipaksa meninggalkan negara masing-masing.
āKita harus akui secara jujur bahawa Islam kini menjadi subjek cemuhan dan fitnah. Umat Islam dikaitkan dengan keganasan, kerajaan yang gagal, tidak rasional dan tidak bertamadun.
āTiada satu pun negara Islam dikategorikan sebagai negara maju. Walaupun memiliki pelbagai kekayaan, mereka tetap dipanggil sebagai negara membangun, bukan negara maju.
āSesetengah negara Islam semakin mundur sehingga meletakkan kebergantungan terhadap penjajah yang sebelum ini mentadbir negara mereka,ā katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Dr. Mahathir yang juga pengerusi persidangan terbabit, berkata umat Islam perlu mengembalikan kegemilangan tamadun agama itu bukan saja dari sudut keagamaan, malah dalam pentadbiran dan ilmu pengetahuan.
Katanya, tamadun Islam suatu ketika dulu amat dikenali lagi disegani sehingga melahirkan ramai pemimpin terkenal dalam pelbagai bidang, namun perpecahan umat akibat perbezaan pendapat menyebabkan Islam melalui zaman kejatuhan.
āBermula pada abad ke-15, tamadun Islam mula jatuh sedikit demi sedikit. Pemikir Islam ketika itu mengeluarkan pandangan berbeza sehingga mengabaikan nilai Islam itu sendiri dan akhirnya orang Islam kehilangan negara mereka, dijajah oleh Eropah.
āDaripada saat kejatuhan itu, mereka belum pulih biarpun selepas mencapai kemerdekaan. Jadi, jika perkara ini berterusan, kita akan terus menjadi lemah, terus ditindas dan akhirnya kita jatuh sehingga agama agung ini dianggap sebagai agama yang gagal,ā katanya.
Dr. Mahathir berkata, akibat kemunduran dan tekanan yang dialami, muncul segelintir pihak melakukan tindakan tidak rasional sehingga memburukkan Islam atas nama jihad.
āAkibat tindakan segelintir pihak ini, Islam digelar sebagai agama pengganas. Mereka yang menggunakan cara keganasan ini menyebabkan orang tidak berdosa terkorban termasuk rakan seagama. Apa yang mereka dapat daripada tindakan itu?
āJawapannya tiada apa-apa, sebaliknya Islam dilihat jahat dan buruk. Jadi, inilah antara sebab kita berkumpul (di sidang kemuncak) hari ini. Kita mungkin melihat gambaran yang suram, tetapi itu tidak bermakna kita sudah tewas. Kita perlu melihat ke belakang, di mana tamadun Islam berada di kemuncaknya dan mengembalikan kegemilangan itu,ā katanya. – BH Online