KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) Cina di negara ini rasa tertipu oleh pemimpin DAP yang turut menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Jelas Naib Ketua Pemuda MCA Malaysia, Chua Hock Kuan, sebenya sebelum ini, mereka dijanjikan tidak ada paksaan dalam pembelajaran tulisan Jawi sebagaimana zaman Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, selepas PH mengambil alih kerajaan Persekutuan dari BN pada PRU14 lalu, mereka seolah memaksa pelajar Cina dan Tamil belajar tulisan Jawi di sekolah vernakular.
“Sebab itu NGO-NGO Cina ini bangkit, marah dan bantah… sebab mereka rasa tertipu dengan pemimpin DAP yang menjadi kerajaan hari ini. Zaman BN dulu tak ada unsur paksaan dalam pembelajaran.
“Kita pun tahu masyarakat kita ini minat nak belajar banyak, belajarlah Jawi ke, nak belajar bahasa Arab ke, bahasa Thai ke, Jepun ke tetapi dalam konsep tidak ada paksaan.
“Sekarang ini sudah jadi seperti isu perkauman, sedangkan apa yang NGO Cina nak buat ialah, mereka nak berbincang untuk menyataka tidak bersetuju dengan dasar yang hendak diperkenalkan oleh kerajaan hari ini, nak masukkan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Hock Kuan yang juga Pengerusi MCA Kelantan berkata, apa yang dilakukan oleh NGO Cina dan India ketika ini ialah membantah dasar paksaan yang hendak dimasukkan dalam sekolah mereka.
Katanya, himpunan itu bukan untuk membenci Jawi, orang Melayu atau umat Islam, tetapi kerana tidak puas hati berlaku unsur paksaan dalam dasar pendidikan kerajaan PH.
“Sebagai kerajaan sepatutnya menyatupadukan rakyat. Kalau ada sedikit masalah seperti ini, kerajaan menyelesaikannya tanpa wujud ketegangan.
“Dalam konteks pada hari ini, jangan terlalu bermain politik dengan isu-isu pendidikan ini,” katanya.
Bagaimanapun, himpunan anti Jawi itu dibatalkan selepas ia mendapat perintah daripada mahkamah semalam oleh pihak polis bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini. – MalaysiaGazette