“DIA seorang sahabat yang baik dan banyak membantu ketika kami mula membina nama,” kata penyanyi Alleycats, Datuk David Arumugam, 69, mengenai bekas pemain bass kumpulan itu, Frank Ong, 64, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur jam 4.30 pagi semalam.
David ketika dihubungi berkata, dia dimaklumkan mengenai berita sedih itu jam 8 pagi menerusi WhatsApp daripada seorang rakan.
Menurut David, dia ada menghubungi kediaman arwah bagi mendapatkan maklumat lanjut namun panggilan tidak dijawab.
“Saya sedikit terkilan kerana tidak berkesempatan menziarahinya. Sepanjang mengenalinya, dia seorang sahabat yang baik,” katanya.
Frank atau nama Islamnya, Abdul Rashid Ong Abdullah menyertai Alleycats pada 1976 hingga 1986 dan terbabit dengan rakaman enam album Alleycats termasuk yang paling popular seperti Alleycats 4 dan Kuching.
David berkata, selepas meninggalkan kumpulan itu, Frank menjadi tenaga pengajar muzik di beberapa kolej sekitar Kuala Lumpur dan Subang Jaya. – myMetro Online