PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan 20 April tahun depan untuk mendengar permohonan bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri bagi menyemak semula sabitan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Azilah melalui peguamnya, J Kuldeep Kumar telah mengemukakan permohonan tersebut di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.
Dia membuat kejutan menerusi Akuan Bersumpah (SD) bertarikh 17 Oktober lalu mendedahkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri di sebalik arahan pembunuhan serta menghapuskaan mayat Altantuya.
SD tersebut didedahkan oleh portal berita Malaysiakini semalam.
Permohonan itu juga telah disertakan dengan SD yang mengaitkan Najib serta penganalisis politik merangkap pegawai khas Najib ketika itu, Dr. Abdul Razak Baginda.
Selain Azilah, seorang lagi anggota polis yang juga didapati terlibat dalam pembunuhan itu, Sirul Azhar Umar juga di hukum tali gantung.
Kuldeep yang pada awalnya enggan memberikan apa-apa perincian tentang permohonan itu hanya memberitahu pihaknya mengesahkan permohonan itu mengikut Aturan 137.
“Saya tidak boleh beri apa-apa komen ketika ini. Saya boleh sahkan terdapat permohonan Aturan 137 dan semakan semula yang disokong dengan satu afidavit.
“Pendengaran kes ini akan berlangsung pada 20 April tahun hadapan, itu sahaja yang saya boleh beritahu anda semua ketika ini,” katanya di Istana Kehakiman, Putrajaya tengah hari tadi.
Ketika terus diasak dan dikejar oleh para pemberita tentang adakah SD sudah diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut, Kuldeep enggan mengulas tentang perkara tersebut.
Dalam pada itu, Azilah juga menyebut peranan dalam perancangan pembunuhan model Mongolia ini iaitu juruiring (Aide De Camp), Deputi Superintendan (DSP) Musa Safri.
Dakwa Azilah, Musa bertanggungjawab membawa beliau bertemu Najib atas alasan tugasan sulit membabitkan keselamatan negara dan mendakwa ada kawan kepada TPM diugut perisik asing.
SD itu juga memaparkan 60 kenyataan itu turut menceritakan pertemuannya dengan penyiasat persendirian, mendiang P Balasubramaniam serta detik beliau ditahan dan disiasat.
Pada Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang sebelum itu didapati bersalah dalam kes pembunuhan Altantuya.
Panel hakim Mahkamah Persekutuan mendapati Sirul dan Azilah bersalah dan menjatuhkan hukum gantung atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke mahkamah ketika hukuman itu dijatuhkan dan melarikan diri ke Australia sejak 2014. – MalaysiaGazette