SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu tiga daripada empat sampel yang dikemukakan kepada Makmal Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada 17 Jun 2018, dikesan mempunyai sisa cecair mudah menyala jenis petrol.
Pegawai Kimia Aznor Sheda Samsudin, 38, selaku saksi Pendakwaan ke-14 dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan, berkata satu lagi sampel yang dihantar kepadanya untuk dianalisis tidak mempunyai sisa cecair mudah menyala.
Beliau berkata, dapatan itu diperoleh selepas memanaskan empat beg nylon berisi sampel yang dihantar kepadanya dalam ketuhar pada suhu 90 darjah Celcius selama 15 minit supaya proses pengewapan berlaku.
“Wap yang terhasil dijerap dengan menggunakan ‘Solid Phase Micro Extraction’ (SPME) dan kemudian diuji dengan peralatan ‘Gas Chromatography-Mass Spectrometer’ (GCMS),” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, pagi tadi.
Beliau memberi keterangan terhadap bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, kerana membunuh lelaki berkenaan.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.
Aznor Sheda berkata, beg nylon digunakan berikutan ia bersifat lengai dan tiada tindak balas kimia ketika dipanaskan.
Tambah beliau melakukan dua analisis terhadap setiap sampel seperti yang dikehendaki oleh JBPM.
Katanya, laporan daripada analisis yang dilakukannya itu diserahkan kepada oleh Pegawai Bomba Abdul Halim Zulkefeli, pada 21 Jun 2018 manakala tiga sampel yang ada sisa petrol diserahkan kepada pegawai penyiasat kebakaran pada 17 Ogos tahun sama berikutan kes itu menjadi kes mahkamah.
Aznor Sheda berkata, beliau juga tidak mengesan bau petrol ketika menerima sampel yang dikemukakan kepadanya, namun berdasarkan kepada pengalaman, tidak semestinya sampel bahan bukti yang didapati positif petrol mempunyai bau.
“Pihak kami terima sampel dalam bentuk sisa kebakaran iaitu bahan terbakar. Kalau saya terima sampel atau bahan dalam bentuk cecair seperti petrol, saya tidak akan katakan ia petrol selagi tidak menganalisis bahan itu dan mengesahkan ia adalah petrol.
“Bau bukan parameter dalam ujian saya. Petrol mempunyai sifat memenuhi ruang. Apabila petrol disimbah pada apa-apa bahan, ia akan memenuhi ruang.
“Apabila api dinyalakan api itu akan gunakan petrol untuk menyala. Contoh sisa kebakaran ini sudah habis terbakar jadi abu dan arang. Sisa petrol itu masih ada pada sisa kebakaran,” katanya.
Beliau berkata, walaupun sudah habis terbakar, komposisi petrol masih ada lagi pada sampel atau bahan bukti.
Katanya, beliau memanaskan bahan bukti berkenaan untuk mengeluarkan wap yang terperangkap sebelum digunakan untuk analisis. – BH Online