PETALING JAYA – Jemaah Majlis DiRaja Johor berkata wirawati negara, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir tidak berhak menggunakan gelaran “Datin Paduka” dalam semua urusannya.
Yang Dipertua Jemaah Majlis DiRaja Johor, Abdul Rahim Ramli berkata Sharifah yang juga ketua misi Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (Aweta) dilarang menggunakan gelaran itu dalam urusan misi tersebut.
“Jemaah Majlis Diraja Johor dimaklumkan seorang bernama Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang beralamat di Shah Alam, Selangor dan dikatakan sedang membuat persiapan untuk satu expedisi ke Antartika menggunakan gelaran Datin Paduka dalam urusannya.
“Jemaah Majlis Diraja mengesahkan Darjah Mahkota Johor yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), (6 November 2005) dan Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) (27 Mac 2004) yang dikurniakan kepadanya telah ditarik balik dan dibatalkan pada 4 Jun 2010,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Abdul Rahim berkata rakyat Johor dan orang ramai diharap mengambil maklum berhubung perkara tersebut.
Pada 12 Disember lalu, misi untuk membawa pulang kapsul yang pernah ditanam Sharifah Mazlina ketika misinya menakluk Antartika pada 2004 itu dianggap sebagai satu perkara yang mustahil.
Sharifah Mazlina berkata beliau menerima berita dari pihak di sana bahawa objek berkenaan berkemungkinan sudah tenggelam atau kini berada di dalam lokasi pusat penyelidikan Amerika Syarikat. – FMT