KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini merujuk Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan Ahli Parlimen beragama Hindu.
Keputusan diumumkan Timbalan Yang Dipertua, Dewan Rakyat, Nga Kor Ming selepas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memboikot dan keluar dewan apabila enggan membahaskan usul itu yang dikemukakan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.
Terdahulu, beberapa wakil rakyat BN termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertikaikan usul terbabit kerana Tajuddin sudah dikenakan hukuman gantung selama dua hari.
Bagaimanapun, Kor Ming meminta Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) memulakan segera perbahasannya sebagai wakil blok kerajaan dan mengarahkan wakil rakyat BN supaya duduk dan tidak mengganggu perbahasan.
“Jangan buang masa, ini sekadar membahas sama ada wajar Pasir Salak dirujuk ke jawatankuasa, bukan menjatuhkan hukuman. Silakan Bukit Gelugor teruskan perbahasan,” katanya.
Suasana bertukar kecoh ketika Ramkarpal memulakan perbahasannya, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) bangun bertanya peguam itu sama ada pesalah boleh dikenakan hukuman gantung dua kali.
Perbahasan Ramkarpal terus diganggu Ahli Parlimen pembangkang sehingga memaksa Kor Ming meminta mereka yang tidak bersetuju dengan perbahasan itu supaya keluar dewan.
Pembangkang kemudian membuat keputusan tidak mahu berbahas dan Kor Ming memutuskan supaya undian dibuat. Usul itu kemudian diluluskan sebulat suara.
Selasa lalu, isu calit abu mayat Ching Peng di dahi wakil rakyat menyebabkan Tajuddin dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) diarah keluar dan digantung selama dua hari oleh Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof kerana mengganggu persidangan.
Sementara itu, Ismail Sabri pada sidang media di lobi Parlimen berkata, usul supaya Tajuddin dirujuk ke jawatankuasa itu disifatkan sebagai tidak adil.
Beliau menjelaskan Tajuddin sebelum ini sudah meminta maaf, menarik balik kenyataan dan digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama dua hari.
“Kenapa Pasir Salak perlu dirujuk (ke jawatankuasa) sedangkan beliau sudah menerima hukumannya. Keputusan ini seolah-olah mereka berdendam terhadap Pasir Salak.
“Malah usul saya untuk merujuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke jawatankuasa terbabit sengaja diturunkan giliran selepas usul terhadap Pasir Salak. Semua tindakan ini bermotifkan politik,” katanya. – BH Online