PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kontrak simpanan “Wadiah Yad Dhamanah” akan digantikan konsep “Wakalah” mulai 31 Dis ini untuk memberi lebih nilai tambah dan manfaat kepada pendeposit tanpa menjejaskan kemudahan serta manfaat akaun sedia ada.
Katanya, dengan mengekalkan deposit bersama TH selepas 31 Dis ini, pendeposit dianggap memberi persetujuan terhadap peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah.
Dana haji itu berkata, pendeposit tidak perlu mengisi dokumen baru dan boleh berurusan seperti biasa di mana-mana pejabat cawangan TH di seluruh negara.
“Menerusi kontrak baru ini, TH adalah wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi tujuan aktiviti pelaburan dan operasi haji, di mana keuntungan yang dijana setiap tahun akan diagihkan kepada pendeposit berdasarkan prestasi kewangan TH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TH berkata, terma dan syarat akaun TH boleh dirujuk di laman www.tabunghaji.gov.my/wakalah.
Katanya, TH sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatannya dengan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan untuk manfaat pendeposit.
“Antara kelebihan menyimpan di TH adalah simpanan dijamin 100% oleh kerajaan selaras Akta Tabung Haji 1995, selain zakat dibayar bagi pihak pendeposit.” – FMT