PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pegawainya sekiranya didapati terlibat melakukan serangan terhadap tahanan yang sedang disoal siasat agensi itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam kenyataan hari ini berkata semua tuduhan berkaitan serangan dalam tahanan akan diteliti secara serius dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada mana-mana badan penyiasat.
Merujuk kepada dakwaan 3 anggota polis dicederakan pegawai SPRM ketika disoal siasat agensi itu, beliau berkata SPRM meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam menangkap dan menahan mereka.
“Dalam kes ini, anggota-anggota polis yang membuat aduan sedang disiasat oleh SPRM atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.
“Penyiasatan ini merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor susulan dakwaan kegiatan pemerasan melibatkan anggota polis,” katanya.
Bernama malam tadi melaporkan 3 anggota polis mendakwa cedera dipukul pegawai SPRM ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam baru-baru ini.
Ketiga-tiga anggota berumur 24, 25 dan 26 tahun dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh itu hadir di pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes dikendalikan agensi itu.
Bagaimanapun, mereka mendakwa ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika pegawai SPRM mengambil keterangan dalam sebuah bilik pada 24 dan 26 Disember lepas.
Laporan polis kemudiannya dibuat ketiga-tiga anggota itu pada 27 Dis lalu mendakwa pegawai SPRM melakukan kekerasan ketika menjalankan proses merakam percakapan.
Menurut Latheefa, laporan polis juga telah dibuat oleh pegawai SPRM terbabit dengan menyatakan tuduhan serangan dalam tahanan terhadap anggota-anggota polis berkenaan adalah palsu.
Ujarnya, SPRM akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan sebarang siasatan polis terhadap laporan tersebut.