KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E Dagang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga tuduhan menerima rasuah RM87,000 berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
Mohd Iskandar King ,42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Iskandar didakwa menerima suapan wang tunai RM50,000 daripada Pengarah Syarikat Golden Sunrise Ventures Sdn. Bhd. dan pakar runding bagi Syarikat OCK Setia Engineering Sdn. Bhd., Mohd Azuzi Mohamed Kamil.
Ia sebagai upah untuk tertuduh yang membantu mendapatkan projek Universal Service Provider (USP) Time 3 Extension Phase 1 daripada suruhanjaya itu bagi syarikat OCK Setia Engineering Sdn. Bhd.
Dia dituduh melakukan kesaahan itu di sebuah restoran di IOI City Mall, Putrajaya jam 8 malam, 9 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika sakit kesalahan dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Iskandar didakwa menerima dua cek, masing-masing bernilai RM18,500 atas nama isterinya, Nur Ellina Abdul Sukor dan atas namanya sendiri daripada Mohd Azuzi yang mana tertuduh mengetahui Mohd Azuzi mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya di Bukit Jalil Golf and Country Resort, jam 5 petang, pada 23 Jun 2015.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai RM50,000 daripada Mohd Azuzi yang mana tertuduh mengetahui bahawa Mohd Azuzi mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya di sebuah restoran di IOI City Mall, Putrajaya pada jam 8 malam, 9 Januari lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam R Sivahnanthan, memohon diberikan jaminan rendah dengan alasan sudah memberi kerjasama kepada SPRM, selain menghidap penyakit bronkitis dan mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes. – BH Online