KANGAR – Percaya ada tidak di zaman serba canggih sekarang ini ada masih orang yang mengenakan harga RM2.50 untuk sekali gunting rambut seperti sejak lebih lima dekad lalu.
Di sudut ruang tamu sebuah rumah di Kampung Padang Katong sebuah perkampungan tradisional masyarakat Cina di sini, kelihatan seorang wanita warga emas yang hampir mencecah satu abad masih gagah menggayakan gunting di jari untuk memotong rambut pelanggannya.
Sekali-sekala Teh Khai Looi, 80, yang lebih mesra dengan panggilan Toknya di kalangan penduduk kampung itu memandang ke arah lima orang pelanggannya yang masih setia menunggu giliran.
“Dulu (1962) upah RM0.25 sen sekepala (seorang), sekarang RM2.50 ianya sudah sangat memadai bagi Toknya, buat apa cari untung lebih-lebih, bukan boleh buat apa pun,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Katanya beliau akan terus mengekalkan harga tersebut selagi khidmatnya diperlukan dan tidak bercadang sama sekali untuk menaikkan harga walaupun kedai gunting rambut lain di sekitar Kangar mengenakan bayaran antara RM20 hingga RM25 seorang.
“Toknya gunting rambut bukan kerana duit, lebih jauh lagi untuk kaya.. apa yang Toknya buat adalah untuk mencari kepuasan bagi diri sendiri..kalau ‘dok saja’ (kalau tidak berkerja) nanti badan mulalah rasa sakit-sakit,” katanya sambil melemparkan senyuman ke arah pelanggannya.
Toknya berkata dalam sehari beliau hanya menerima enam hingga sepuluh orang pelanggan sahaja dan kebanyakan daripada adalah merupakan pelanggan tetap.
Katanya, walaupun jumlah pelanggan tidaklah ramai kerana tidak menawarkan pakej menarik seperti di salun-salun rambut pada masa kini, pelanggan tidak putus pada disalunnya yang beroperasi pada jam 11 pagi hingga 7 malam.
Beliau berkata pada zaman mudanya iaitu pada tahun 1957, beliau pernah merantau ke Pulau Pinang dan bekerja selama lima tahun di sebuah salun bagi mengasah bakat dengan kemahiran mengunting dan mendandan gaya rambut wanita.
Teh berkata sebelum itu beliau hanya mempelajari kemahiran menggunting rambut secara sendiri tanpa bimbingan sesiapa kerana pada zaman itu tiada kursus-kursus khas mengenai potongan dan dandanan rambut.
“Setelah berkahwin bersama mendiang suami pada 1962, Toknya balik menetap di Perlis dan membuka kedai gunting rambut di rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, seorang jururawat swasta Nazirah Anuar, 28, berkata beliau mula menggunting rambut di sini sejak darjah satu sehingga hari ini.
“Saya mula dibawa gunting rambut di kedai toknya oleh emak sejak darjah satu lagi, sejak dari itu saya menjadi pelanggan tetap Toknya kerana berpuas hati dengan hasil kerja tangannya.
“Lagipun beliau seorang yang peramah menyebabkan orang ramai rasa selesa dengannya,” katanya ketika menunggu giliran di bangku yang disediakan pada sudut tepi ruang tamu rumah kayu itu.
Beliau berkata selain itu juga sebagai orang tua, Toknya sering memberi nasihat berguna kepadanya agar bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkerjaan hingga berjaya dan tidak cepat berputus asa.
“Saya sudah anggap Toknya tidak ubah seperti nenek sendiri walaupun kami berlainan bangsa dan agama,” katanya yang bakal menimang cahaya mata sulong tidak lama lagi.
Turut berkongsi pendapat, Hadma Hassan, 56 yang berkata beliau selesa menguna khidmat Toknya kerana belum ada tukang gunting lain yang mampu menawarkan perkhidmatan gunting rambut yang memuaskan hatinya.
Hadma berkata harga yang dikenakan juga murah menyebabkan beliau sering datang ke sini.