“SEDANGKAN muka Mark Zuckerberg pun orang boleh ‘deepfake’, inikan pula saya,” kata pelakon popular Zul Ariffin mengenai penularan video panas didakwa mirip dirinya di media sosial.
Zul berkata, dia tidak menyangka menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab di zaman teknologi yang serba canggih ini.
“Senang sangat nak cari visual saya untuk buat ‘deepfake’ ini. Tak sangka kali ini saya pula menjadi mangsa. Ingatkan perkara sebegini orang buat pada ahli politik saja,” katanya.
‘Deepfake’ ialah teknologi yang mampu menggantikan wajah individu atau sesiapa sahaja dalam sebuah klip video dan hasilnya seperti Imej Janaan Komputer (CGI) dalam filem yang sangat realistik.
Sedih dengan perkara yang berlaku, Zul berharap artis lain turut berhati-hati.
Sementara itu, kehilangan akaun Instagram pelakon berbadan sasa itu turut mengundang persoalan dalam kalangan warganet.
Ia dipercayai dinyahaktif oleh Zul pada Selasa lalu selepas tersebarnya rakaman video lucah didakwa miripnya di Twitter.
Menerusi kenyataan dimuat naik kelab peminat Zul Ariffin Fan Club (ZAFC), akaun terbabit tidak digodam sebaliknya pelakon kesayangan mereka mengambil keputusan untuk berehat daripada menggunakan media sosial.
Terdahulu kecoh rakaman berdurasi 45 saat memperlihatkan seorang lelaki didakwa mirip Zul berada dalam keadaan berbaring sambil merokok sebelum mula menunjukkan alat sulitnya.
Lelaki berkenaan yang kelihatan seperti berada di sebuah bilik itu seolah-olah sedang berinteraksi dengan individu lain menerusi panggilan video. – myMetro Online