TAWAU – Tiga warga Amerika Syarikat (AS) diarah meninggalkan Sabah segera kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, kata pengarah Imigresen Sabah, Muhamad Sade Mohamad Amin.
Katanya, 3 warga AS itu yang terdiri daripada seorang lelaki berumur 38 tahun dan 2 anaknya seorang lelaki dan perempuan masing-masing berumur 14 dan 16 tahun, masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017, namun pasport mereka kemudiannya dilaporkan hilang.
“Ketiga-tiga mereka datang ke pejabat Imigresen Tawau pada 7 Januari bagi mendapatkan bantuan memandangkan mereka kehilangan pasport antarabangsa dan memohon untuk mendapatkan gantian pasport yang baru dari negara mereka.
“Mereka hadir ke pejabat Imigresen yang berhampiran (Tawau) untuk mendapatkan bantuan setelah mendapat khidmat nasihat daripada pihak Kedutaan AS di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Sade berkata, kedutaan AS di Kuala Lumpur menghubungi pejabat Imigresen Tawau agar memberikan bantuan sewajarnya kepada ketiga-tiga mereka.
“Siasatan lanjut dijalankan dan didapati ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
“Kertas siasatan telah dimajukan kepada timbalan pendakwa raya Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan mereka dikenakan kompaun dan diusir balik ke negara asal,” katanya.
Muhamad Sade berkata, Jabatan Imigresen Sabah sentiasa mengingatkan semua warga asing yang masuk ke negeri ini agar melaporkan diri di mana-mana pejabat Imigresen terdekat sekiranya mengalami masalah seperti kehilangan pasport.
Jabatan itu juga berharap agar semua warga asing sentiasa mematuhi undang-undang, terutamanya peraturan imigresen di Sabah, katanya.