Thursday, October 24, 2024

Creating liberating content

Jemaah Solat Jumaat Masjid...

KUALA LUMPUR - Bilangan jemaah solat Jumaat bagi masjid di Wilayah Persekutuan Kuala...

Zidane Pengganti Mourinho?

LEMBAGA Pengarah Manchester United sedia melantik Zinedine Zidane sebagai pengurus baharu sekiranya Jose...

PM Seru Rakyat Kekalkan...

BENTONG - Rakyat diseru agar terus mengamalkan konsep kesederhanaan untuk memastikan negara kekal...

PPBM Digantung Sementara Dilanda...

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang digantung sementara Jabatan Pendaftaran...

Banduan Kongsi Pengalaman Penjara Sambil Gunting Rambut

KUANTAN – “Abang duduk penjara?” antara soalan paling kerap diterima Ali semasa menggunting rambut pelanggan di Pusat Inkubator Usahawan My Pride Jabatan Penjara Pahang di Sungai Isap.

Ali, 38, yang sudah lali dengan pertanyaan itu tidak melenting, sebaliknya melihatnya sebagai peluang untuk berkongsi pengalaman supaya kesilapan silamnya tidak diulangi individu lain, terutamanya golongan muda.

“Bukan hanya budak-budak, malah orang dewasa juga sentiasa hendak tahu bagaimana kehidupan di penjara…inilah peluang saya bercerita kerana banyak perkara yang kita akan terlepas bila sudah ke penjara.

“Saya sendiri, akibat ganja, kehilangan masa selama 10 tahun dan selalunya, orang paling ngeri bila saya berkongsi pengalaman dirotan 10 kali selain kepayahan perlu berkongsi sel dengan kumpulan individu tidak dikenali,” katanya kepada Bernama.

Ali bersyukur kerana mempelajari kemahiran menggunting rambut sejak Januari 2019 sebelum memohon untuk ditempatkan di Pusat Pemilihan Pemasyarakatan Kem Batu 10 sebagai Orang Diselia (ODS).

Katanya, kedai kecil dengan 3 kerusi itu membolehkan dia merasai pengalaman “orang biasa” walaupun tidak bebas sepenuhnya, selain membantu membina keyakinan untuk berdepan masyarakat selepas bertahun-tahun di penjara.

“Saya suka apabila mendapat pelanggan yang suka berborak. Walaupun ada soalan sensitif, tetapi itu realiti yang akan saya hadapi bila dibebaskan April depan. Status sebagai banduan memang mengundang persepsi orang, apatah lagi jika mahu memohon kerja.

“Jadi kemahiran ini diharapkan boleh membantu saya mengusahakan perniagaan sendiri kerana kakak sudah menyatakan kesanggupan mengeluarkan modal asalkan saya tekad untuk berubah,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori sebelum ini.

Anak jati Selayang, Selangor itu juga mengakui walaupun sudah menjalani latihan selama 6 bulan, dia gementar apabila kali pertama menerima pelanggan dan mengambil masa beberapa minit untuk menenangkan diri.

Semasa itu tangannya menggeletar sehingga perlu mengingatkan diri supaya tidak membuat kesilapan selain kerap menoleh melihat reaksi pegawai penjara, yang merupakan pengajar, untuk panduan bagi memastikan setiap langkahnya tepat.


Sementara itu, Wan, 29, yang menjalani hukuman penjara 12 tahun bermula 2013 kerana cubaan bunuh juga menyifatkan keberadaannya di pusat inkubator itu sebagai “medium tidak rasmi” untuk berkongsi pengalaman dengan masyarakat.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui lebih gemar diam untuk fokus pada tugasan, namun tidak kisah jika ada pelanggan yang hendak mengajak berborak sementara menunggu rambut “siap”.

“Pesanan paling kerap saya beri ialah jangan sesekali lawan ibu ayah dan dengar nasihat mereka. Mereka lebih tahu daripada kita walaupun ada masanya kita rasa nasihat itu tidak mengikut kehendak kita. Selain itu, kita juga perlu berfikir semasak-masaknya sebelum membuat apa juga tindakan,” katanya.

Wan menambah saat paling seronok ialah apabila menerima ucapan terima kasih daripada pelanggan atau melihat mereka tersenyum memeriksa rambut baru yang membuat dirinya berasa puas dengan hasil kerjanya.

Pengarah Penjara Pahang, Ab Basir Mohamad berkata kedai gunting yang mula beroperasi pada Disember 2018 itu dalam satu-satu masa dikendalikan 5 ODS yang dikawal kakitangan penjara, dan turut menyediakan perkhidmatan dobi dan urutan refleksologi untuk lelaki.

“Bukan hanya kemahiran menggunting, ODS juga diberi pendedahan dalam urusan mengira untung rugi dan cara mengendalikan perniagaan untuk bergelar usahawan kerana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) ada menyediakan bantuan kepada bekas banduan.

“Kami berharap usaha ini dapat membantu mereka memulakan hidup baru terutamanya dalam bidang gunting rambut yang mana modal permulaan perniagaan tidak begitu besar jika dibandingkan dengan perniagaan lain,” katanya.

Basir berkata bayaran di kedai gunting yang dibuka 9 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat itu juga lebih murah berbanding di tempat lain, iaitu RM6 seorang selain turut terlibat memberikan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada pelajar sekolah bagi menghadapi sesi persekolahan 2020.

Kategori