KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd., Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, 86, meninggal dunia, malam tadi akibat komplikasi kanser.
Ia disahkan melalui catatan Facebook anak Allahyarham, Anita Azrina, yang turut memaklumkan bapanya meninggal dunia pada jam 11.51 malam.
“Doakan Allah reda, beri keampunan dan rahmati ayahanda Abdul Aziz dan dipermudahkan segala urusan seluruh keluarga kita semua,” katanya dalam catatan itu.
Allahyarham yang menghidap kanser esofagus, meninggal dunia di sebuah hospital swasta dan jenazah dibawa ke Masjid Saidina Umar Bukit Damansara, di sini jam 9 pagi tadi untuk disolatkan, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Abdul Aziz mula menyertai syarikat penerbangan itu (kini dikenali sebagai Malaysia Airlines – MAS) pada April 1971 sebagai Setiausaha Syarikat/ Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang MAS, sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan pada 1982.
Syarikat penerbangan negara itu berkembang menjadi jenama unggul dunia ketika Allahyarham bersara pada 1991.
Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Jasa Allahyarham akan dikenang warga pekerja MAS. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” menurut kenyataan itu. – BH Online