KUALA LUMPUR – Di bawah pentadbiran kerajaan Warisan, Sabah kini semakin ketinggalan kadar pertumbuhan ekonomi, kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu merujuk kepada data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk Sabah telah jatuh dari 8.2% pada tahun 2017 kepada cuma 1.5% tahun lepas – paling rendah sejak sepuluh tahun yang lalu.
Katanya, kadar pertumbuhan tersebut adalah jauh di bawah purata pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 4.7% tahun lepas.
“Dalam tempoh saya PM, tidak pernah kadar pertumbuhan Sabah rendah seperti kadar 1.5% ini kerana kerajaan dahulu gigih membangunkan Sabah untuk mengurangkan jurang ekonomi mereka dengan semenanjung Malaysia.
“Buktinya ialah kadar pertumbuhan 8.2% bagi Sabah untuk tahun 2017 adalah tertinggi antara semua negeri di Malaysia masa itu dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9% untuk keseluruhan Malaysia.
“Tapi jatuh teruk ke 1.5% di bawah angka 4.7% keseluruhan Malaysia selepas PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Justeru, menurut Najib, kerajaan Warisan di Sabah tidak boleh tunggu lagi untuk menuntut kerajaan pusat menunaikan janji manifesto mereka untuk mengembalikan royalti 20% minyak dan 50% hasil cukai.
“Kalau dah janji, tunaikan sahaja. Jangan biarkan Sabah ketinggalan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette