ALOR GAJAH – Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jerneh, Brisu, di sini, mencatatkan bilangan murid paling sedikit di negeri ini iaitu 16 orang dan hanya seorang murid masing-masing bagi Tahun Satu dan Tahun Lima.
Guru Besar sekolah berkenaan, Mustafa Kamal Mohd Nor, berkata daripada jumlah itu, 10 adalah murid lelaki dan enam perempuan termasuk seorang murid perempuan masing-masing di Tahun Satu dan Tahun Lima.
“Nur Zahirah Aisyah Mohd Zuhaili, 7, dari Kampung Sungai Jerneh adalah satu-satunya murid Tahun Satu, selain enam murid Tahun Dua, tiga murid Tahun Tiga, dua murid Tahun Empat, seorang di Tahun Lima dan tiga murid Tahun Enam.
“Bagaimanapun, ada kelas digabungkan menjadi satu iaitu Tahun Dua, Tiga, Empat dan Lima, manakala hanya Tahun Satu dan Enam dikekalkan sebagai satu kelas kerana memerlukan perhatian khusus untuk awal persekolahan serta bagi menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya kepada media di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.
Mustafa Kamal berkata, tahun ini kali pertama SK Sungai Jerneh yang sebelum ini dikenali mempunyai jumlah murid paling sedikit merekodkan hanya seorang murid Tahun Satu.
“Mengikut pendaftaran prasekolah, sepatutnya ada empat murid Tahun Satu, namun hanya Nur Zahirah Aisyah yang hadir, manakala tiga murid lagi bertukar ke sekolah lain.
“Walaupun hanya seorang murid, sesi pembelajaran untuk Nur Zahirah Aisyah diteruskan seperti biasa dan dia boleh berinteraksi secara terus dengan guru mata pelajaran,” katanya.
Tahun lalu, SK Sungai Jerneh merekodkan 31 murid Tahun Satu hingga Enam dan 29 murid pada 2018.
Sementara itu, Nur Zahirah Aisyah berkata, dia gembira dapat berinteraksi terus dengan guru walaupun tidak mempunyai rakan sekelas.
“Seronok belajar seorang sebab tidak ada kawan yang mengganggu ketika saya belajar.
“Jika tidak faham pun, tidak ada orang akan ketawakan saya, sebaliknya saya boleh bertanya terus kepada guru,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor. – BH Online