SEREMBAN – Keputusan mengenai pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) akan diputuskan dalam Kabinet pada Rabu ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata Kabinet juga akan memutuskan hala tuju BIPK nanti.
“Biar perkara ini (pemansuhan BIPK) diputuskan Kabinet pada Rabu ini. Kabinet juga akan putuskan hala tuju BIPK selepas ini,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Apabila diminta mengulas mengenai keputusan pemansuhan BIPK yang dikatakan dibuat tanpa memanggil pemegang taruh termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk berbincang, katanya pihaknya sudah mengikut peraturan ditetapkan.
“Setakat ini kita sudah mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Baru-baru ini CUEPACS meminta kerajaan mengekalkan BIPK bagi 33 skim perkhidmatan dengan menyifatkan keputusan itu akan menimbulkan keresahan terhadap penjawat awam.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat, juga memaklumkan sudah menghantar nota bantahan berhubung perkara itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, minggu lalu selain menghantar permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan. – BH Online