SIAPA sangka hanya menggunakan telefon bimbit, pemuda ini dapat menghasilkan gambar cantik sehingga menarik perhatian gergasi gajet, Apple memuat naiknya di Instagram (IG) rasmi mereka.
Bagi Dinie Aiman Sukhaizar, 21, peluang itu adalah satu penghargaan buat dirinya dan juga pengiktirafan sebagai anak Malaysia bagi menonjolkan keindahan sebenar negara ini.
“Tidak sangka gambar menggunakan iPhone 7 Plus ini menarik perhatian Apple memilih hasil kreativiti saya.
“Apa yang saya mahu tonjolkan dalam gambar ini mengenai keindahan kampung berbanding kota raya, seorang pemuda sedang menikmati alam di waktu pagi diikuti deruan angin dan kicauan burung sebelum tersedar keindahan kampung lagi hebat dari kota raya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kreatif Industri Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, gambar itu diambil di Kampung Sahabat, Perlis pada 13 Jun lalu sebelum memuat naik di Instagramnya lima hari kemudian.
“Setiap kali saya mengambil gambar, saya akan sertakan tanda pagar #shotoniphone dan mungkin melalui tanda pagar itu pihak Apple memilih gambar saya.
“Sebelum itu, Apple ada menghantar emel meminta izin untuk menggunakan gambar berkenaan untuk dimuat naik di Instagram rasmi mereka,” katanya yang berasal dari Kangar, Perlis.
Katanya, gambar keindahan alam itu dimuat naik di IG rasmi Apple pada 23 Disember lalu dengan kapsyen “Humanity turns a photo into a story” (kemanusiaan mengubah foto menjadi cerita).
Perkongsian Apple itu menarik perhatian lebih 300,000 pelayar dengan tanda suka direkodkan.
Dinie Aiman berkata, di sebalik keindahan gambar itu terselit sejarah Kampung Sahabat yang mungkin ramai pihak tidak tahu.
“Dahulunya Kampung Sahabat dipenuhi ramai penduduk sebelum penduduk berpindah ke tempat lain selepas kampung berkenaan tenggelam akibat pembinaan sebuah empangan puluhan tahun lalu,” katanya. – myMetro Online