KANOWIT – Gara-gara seorang lelaki yang enggan turun dari menara telekomunikasi di Bukit Memaloh, di sini, sepasukan anggota bomba terpaksa berjaga di lokasi berkenaan, sejak semalam.
Lelaki terbabit dikesan memanjat menara dianggarkan setinggi 100 meter itu pagi semalam dan orang ramai yang menyedarinya, bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 8.26 pagi semalam.
Bertindak atas laporan itu, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit diketuai Ketua Balai, Penolong Penguasa Bomba Arrahman Chik dikerah ke lokasi.
Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berkata, setibanya di lokasi, anggotanya turut memanjat menara berkenaan dan memujuk lelaki itu.
Bagaimanapun, lelaki terbabit bertindak agresif, membaling beberapa objek keras kepada anggota bomba yang cuba menghampirinya.
“Sehingga jam 5.40 petang semalam, usaha memujuknya gagal apabila lelaki itu terus membaling objek seperti skru ke arah anggota bomba.
“Selain itu keadaan basah dan licin akibat hujan turut menyukarkan anggota bomba untuk menghampiri lelaki yang agresif itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khirudin berkata, selepas seharian gagal memujuk lelaki itu, anggota bomba terpaksa berjaga di lokasi sepanjang malam tadi.
“Operasi diteruskan untuk hari kedua pagi ini dan identiti lelaki berkenaan serta motif dia memanjat menara itu juga belum dikenal pasti,” katanya. – BH Online