KLANG – Mustahil bagi kerajaan untuk kuarantin kesemua pelancong China di Malaysia buat masa ini kerana jumlahnya yang terlampau tinggi, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, tegas Perdana Menteri, jika golongan pelancong ini mengalami gejala, walaupun sedikit, mereka akan terus dikuarantin dan diperiksa bagi memastikan sama ada mereka terjangkit dengan wabak koronavirus atau tidak.
“Pelancong dari China ada masanya meningkat sehingga dua million (juta). Kita nak simpan di mana? Letak dalam kandang lembu? Takkan macam tu… tetapi ada simptom sikit pun kita akan kuarantin mereka,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI), di sini hari ini.
Mengenai pelancong yang datang terus dari Wuhan, tempat bermulanya wabak itu, Perdana Menteri berkata, buat masa kini sukar untuk mengenal pasti kesemua mereka kerana masih bergerak dalam negara ini.
Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada kerajaan China kerana mengambil langkah drastik dengan menutup sementara beberapa bandar utama negara itu dalam usaha mengekang penyebaran koronavirus ke luar.
“Ia merupakan satu tindakan yang cukup drastik, dan sekali gus menunjukkan kesungguhan kerajaan China untuk mengawal penyakit itu,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berharap pada masa akan datang, dunia dapat menyaksikan sistem yang boleh mengasingkan kelompok individu yang besar dalam masa yang lebih pantas, di samping penghasilan vaksin yang lebih berkesan untuk penyakit seperti ini. – Astro AWANI