KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta anak perempuan mereka, Nooryana Najwa Najib memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk melihat dan memeriksa secara fizikal barang yang disita dari rumah mereka dua tahun lalu.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, ia melibatkan 40 jam tangan yang bernilai RM6.1 juta dan 263 beg tangan bernilai RM3.9 juta yang kini masih disita oleh pihak polis.
Menurutnya, pemeriksaan barang diambil bagi siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu perlu dilakukan untuk sesi pembelaan terhadap pertuduhan lucut hak yang dibawa ke mahkamah.
Ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, Muhammad Shafee berkata, sebelum ini pihak pendakwaan hanya melengkapkan butiran bahan yang dirampas mengikut warna asas malah terdapat dua atau lebih item mempunyai butiran yang sama.
“Pihak berkuasa mengeluarkan barang yang dirampas dari kotak dan ia menyebabkan anak guam saya mengalami kesukaran dalam mengecamnya.
“Pihak pendakwaan pula hanya mengambil nama jenama dan warna contohnya biru,” katanya.
Muhammad Shafee turut bersetuju apabila memberi perumpamaan hanya seorang wanita mampu memberi gambaran yang tepat dan terperinci (barangan fesyen).
Katanya, barang rampasan itu dikeluarkan dari kotak mereka. Anak guam saya, dakwa beberapa barangan yang disita adalah termasuk hadiah peribadi dari pemimpin dunia, seperti dari Arab Saudi, Qatar dan ahli perniagaan lain.
Bagaimanapun pihak pendakwaan yang diketuai oleh Ketua Unit Siasatan Jenayah Komersial dan Jenayah Siber, Timbalan Pendakwaraya, Fatnin Yusof membantah permohonan tersebut.
Beliau menyentuh isu keselamatan sekiranya barang rampasan tersebut dialihkan daripada bilik kebal ke lokasi lain.
Malah katanya, tiada kes terdahulu dalam pelucuthakan dan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 membenarkan perkara ini.
Fatnin: Jika ia dibenarkan, ia akan memberi peluang kepada kes-kes lain terutama kes AMLATFPUAA.
Muhammad Shafee: Ia tidak benar, perkara ini pernah diutarakan dalam kes lain.
Fatnin: Kami sedia untuk mengambil video barang-barang tersebut bagi memudahkan mereka untuk mengenal pasti barang berkenaan.
Fatnin berkata, barang-barang itu disimpan dalam bilik kebal di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia dan sekiranya barang-barang itu mengeluarkan, akan menimbulkan isu keselamatan sekaligus menjejaskan nilai barangan tersebut.
Sementara itu, peguam Iskandar Shah Ibrahim yang mewakili Rosmah membantah saranan Fatnin dan menyokong hujahan Muhammad Shafee dengan menegaskan beberapa barangan yang disita oleh pihak berkuasa termasuk hadiah perkahwinan Nooryana Najwa Najib, turut dikeluarkan dari kotak hadiah.
“Seperti yang dilihat dari gambar kotak dalam afidavit yang menyokong permohonan itu, kotak-kotak ini menunjukkan bahawa mereka adalah hadiah perkahwinan tetapi kandungannya telah dikeluarkan.
“Jadi seperti kata Shafee, ada keperluan untuk anak guam kami dan anak-anaknya dibenarkan untuk membuat pengecaman terhadap barang-barang tersebut,” katanya.
“Pihak berkuasa mengeluarkan barang yang dirampas dari kotak dan ia menyebabkan anak guam saya mengalami kesukaran dalam mengecamnya,” kata Muhammad Shafee.
Zaini menetapkan 3 Februari ini untuk menyampaikan keputusannya sama ada membenarkan Najib, Rosmah dan Nooryana Najwa memeriksa barangan yang dirampas.
Pada 7 Mei tahun lalu, Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memfailkan dua saman pelucuthakan terhadap barangan mewah bernilai RM711 juta dimiliki oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.
Dua notis usul dan kenyataan bertulis sokongan difailkan di Mahkamah Tinggi di sini untuk merampas barangan yang didakwa dibeli dengan dana daripada syarikat pelaburan kontroversi, 1MDB. – Sinar Harian