Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Jenazah Ismail Dikebumi Selepas...

KUANTAN - Jenazah Ismail Yaacob, 53, yang meninggal dunia pukul 1.40 pagi tadi,...

Indeks Jenayah Sabah Bagi...

TAWAU - Indeks Jenayah Sabah dari tempoh Januari hingga April tahun ini menurun...

Raub Kembali Membuka Pusat...

KUANTAN - Belum sampai 24 jam tiga pusat pemindahan ditutup, daerah Raub kembali...

Bijak…Teknik ‘Rapatkan Saf’ Jimat...

MUNGKIN ramai yang tidak tahu ini adalah antara kaedah menjimatkan ruang letak kereta...

Pemuda UMNO Sabah Bantah Pasang Kamera Video

KIMANIS – Pemuda UMNO Sabah membantah langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memasang kamera video di semua saluran mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Sabtu ini.

Ketuanya, Aziz Julkarnain, berkata mereka bimbang pemasangan kamera berkenaan akan menakutkan pengundi untuk memilih calon masing-masing kerana mendakwa risau keputusan itu diketahui pihak berkuasa.

Keadaan itu, dakwanya boleh menjejaskan proses demokrasi kerana ada unsur menakutkan pengundi supaya memilih calon dari parti kerajaan bagi mengelak kecaman mana-mana pihak.

“Kami membantah langkah SPR meletakkan kamera video di semua saluran mengundi kerana kami tidak mahu ini menakutkan pengundi. Kita bimbang pengundi terpaksa mengundi calon dari parti kerajaan kerana takut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata SPR akan memperkenalkan penggunaan kamera video di semua saluran mengundi pada hari pengundian PRK Kimanis, Sabtu ini.

Langkah itu, katanya sebagai satu usaha penambahbaikan untuk pilihan raya yang cekap dan telus yang akan dipasang di 68 saluran dan dikendalikan pegawai SPR.

Sementara itu, Aziz menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung beberapa perkara dan insiden yang berlaku sepanjang kempen PRK Kimanis.

Beliau mendakwa perkara terbabit melanggar peraturan pilihan raya dan hak asasi manusia sama ada oleh pihak berkuasa atau parti lawan.

Antaranya, beliau menyebut rakaman video yang tersebar dalam media sosial semalam yang menunjukkan beberapa individu memakai baju Parti Warisan Sabah (WARISAN) menanggalkan bendera Barisan Nasional (BN) dipercayai berlaku di Kampung Pimping, Membakut.

“Apa yang lebih dikesalkan, dalam video itu kelihatan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman melihat perbuatan itu.


“Kami kesal kerana menteri tidak peduli dan membiarkan saja pekerja parti mereka melakukan perbuatan itu. Sebagai menteri dan wakil rakyat, mereka sepatutnya membantu menegakkan undang-undang, bukan membiarkannya,” katanya sambil menambah laporan polis mengenainya dibuat di Ibu Pejabat Polis Beaufort, pagi tadi.

Beliau turut menyebut mengenai kempen WARISAN yang didakwa menyediakan makanan kepada orang ramai yang jelas menyalahi peraturan pilihan raya dalam satu program di Kampung Lingan, di sini.

Selain itu, Aziz berkata pihaknya turut membuat laporan polis berhubung kenyataan Peter yang didakwanya berniat jahat kerana menghentam UMNO berkaitan isu sambutan Krismas dan Tahun Baharu yang diadakan di Membakut pada 4 Januari lalu.

“Laporan polis kami sebelum ini adalah berkaitan kesalahan peraturan pilihan raya iaitu pemberian hadiah dan cabutan tiket bertuah ketika kempen pilihan raya, bukan pasal sambutan Krismas.

“UMNO pun ada menganjurkan sambutan Krismas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) tetapi ia dilakukan sebelum hari penamaan calon supaya tidak menyalahi peraturan pilihan raya,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran polis menyiasat individu yang membuat laporan berkaitan isu itu sehingga mengambil masa selama empat jam pada 6 Januari lalu.

“Kami hairan kenapa individu yang membuat laporan polis pula disiasat dan telefon bimbitnya diambil sedangkan kita membuat laporan meminta polis menyiasat perkara berkenaan.

“Satu perkara lagi yang kami tidak puas hati ialah kesalahan dilakukan WARISAN tidak diambil tindakan segera oleh pihak polis dan SPR,” katanya. – BH Online

Kategori