KUANTAN – Kebanyakan premis perniagaan di bandar ini sudah memasang papan tanda bertulisan jawi selepas arahan terbabit berkuat kuasa hari ini.
Ada dalam kalangan pemilik premis perniagaan yang sudah memasang tulisan jawi itu sejak awal tahun lalu bagi mematuhi arahan selain menyokong memartabatkan tulisan itu.
Bagi pemilik kedai dobi di Air Putih, di sini Sahmudin Kadir, 52, dia memasang tulisan jawi sebaik mengetahui arahan terbabit.
“Dalam hal ini, saya tiada masalah berbuat demikian kerana hanya perlu menampal tulisan jawi dan bukannya membuat papan tanda perniagaan baru.
“Saya percaya semua pemilik premis perniagaan akan mematuhi arahan ini demi memartabatkan tulisan jawi,” katanya.
Sementara itu, pemilik restoran makanan, Hamzah Hussin, 55 dari Balok, di sini menyahut arahan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda.
“Saya sudah memasang papan tanda tulisan jawi pada Julai lalu walaupun penguatkuasaan bermula 1 Januari 2020,” katanya.
Tinjauan di premis perniagaan Cina juga mendapati hampir semua sudah memasang papan tanda bertulisan jawi. Bagaimanapun, beberapa peniaga yang ditemui tidak mahu mengulas arahan itu.
Berkuat kuasa hari ini tiada lagi kompromi terhadap pemilik premis perniagaan di Pahang yang gagal memasang papan tanda bertulisan Jawi.
Ini kerana pemilik premis yang didapati gagal mematuhi arahan terbabit, kompaun RM250 atas kesalahan pertama boleh diambil manakala bagi kesalahan kedua pula, lesen perniagaan dibatalkan.
Penggunaan tulisan jawi itu juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda, sebenarnya tempoh setahun sudah diberikan untuk memasang papan tanda dalam tulisan jawi.
“Tindakan itu berdasarkan peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang.
“Jika mereka gagal mematuhi arahan ini, kompaun maksimum RM250 bagi kesalahan pertama dan pembatalan lesen akan dikenakan bagi kesalahan kedua,” kata Abd Rahim. – BH Online