SEREMBAN – Pihak pengurusan sebuah pusat peranginan di Kampung Baru Pantai, di sini, enggan mengulas berhubung tindakan saman oleh ibu bapa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, susulan kehilangan dan kematian mangsa pada Ogos tahun lalu.
Jurucakap pihak pengurusan pusat peranginan itu, berkata tidak sebarang kenyataan akan dikeluarkan berhubung perkara berkenaan.
āKami menghargai usaha anda menghubungi kami untuk mendapatkan komen. Tetapi pihak pengurusan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa ini. Terima kasih,ā katanya ringkas ketika dihubungi BH hari ini.
Media semalam melaporkan ibu bapa kepada Nora Anne, Sebastian Marie Philip dan Maebh Quoirin mengemukakan saman terhadap pengendali The Dusun Resort yang menjadi lokasi penginapan mereka ketika bercuti di Pantai, di sini, pada Ogos tahun lalu.
Melalui tuntutan itu, mereka mendakwa pengendali resort gagal memastikan keselamatan premis, tidak memasang kamera keselamatan dan tidak menyelenggara serta memastikan keupayaan selak pintu bilik penginapan mereka.
Mereka diwakili peguam Sankara Nair dan saman sivil itu difailkan di Mahkamah Seksyen Seremban dengan pengurusan pertama kes dilaporkan akan bermula pada 21 Januari ini.
BH sebelum ini melaporkan Nora Anne yang mengalami masalah lembam ditemui mati selepas 10 hari dilaporkan hilang.
Mayatnya ditemui oleh sekumpulan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawsan lurah kira-kira 2.5 kilometer dari tempat penginapannya sekeluarga. – BH Online