KUALA LUMPUR – Polis dan pihak peguam negara membincangkan nasib 3 kes berkait ahli politik hari ini, iaitu analisis video seks mirip menteri, ujian poligraf berhubung tuduhan serangan seksual, dan akuan berkanun (SD) bekas pegawai polis berhubung pembunuhan seorang wanita asing.
Berkaitan video seks mirip menteri, yang cuba dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, polis berkata laporan analisis pakar Amerika Syarikat berhubung ketulenan video dan pengecaman wajah diterima tahun lalu dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada pihak peguam negara.
“Peguam negara akan membuat kenyataan media bersama-sama dengan polis dalam masa terdekat,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed di Bukit Aman hari ini.
Kes lain yang dibincangkan adalah laporan ujian poligraf Muhammad Yusoff Rawther, lelaki disebalik tuduhan serangan seksual terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan SD Azilah Hadri, yang mendakwa Najib, ketika menjadi timbalan perdana menteri, memberi arahan untuk membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu.
“Pegawai daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas petang ini berjumpa dengan pihak peguam negara bagi membincangkan kes,” katanya.
Polis pada November mengumumkan ia akan mendapatkan kepakaran AS untuk menganalisis video seks sejenis, yang muncul pada Jun tahun lepas.
Bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz mengakui terbabit dalam video itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dinafikan Azmin yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Julai lepas berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri.
Yusoff hadir ke Bukit Aman pada 9 Dis untuk menjalani ujian poligraf dalam siasatan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seseorang.
Siasatan dilancarkan berdasarkan laporan polis Yusoff pada 7 Disember lalu. Anwar sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu, mengatakan ia tidak berasas dan bermotif politik.
Azilah, yang disabitkan membunuh Altantuya dan dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015, membuat satu SD untuk permohonan semakan kes pembunuhannya di Mahkamah Persekutuan.
Najib menepis dakwaan Azilah, mengatakan ia “langkah terdesak” oleh seseorang yang menghadapi hukuman mati. – FMT