GEORGETOWN – Saiz ekonomi bayangan atau ‘shadow economy’ di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu kira-kira RM300 bilion.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jumlah itu dihasilkan daripada aktiviti ekonomi tersembunyi atau jenayah terancang yang terlepas daripada pihak berkuasa.
“Jumlah ini, sekiranya tidak ditangani dengan baik bukan saja akan menyebabkan kehilangan pendapatan besar kepada negara, bahkan secara tidak langsung mencerminkan ketidakcekapan agensi-agensi dan penguat kuasa kerajaan membendung isu berkaitan aktiviti ekonomi bayangan.
“Untuk itu, saya menyeru LHDN untuk sentiasa meningkatkan jaringan kerjasama dan pertukaran maklumat dengan agensi kerajaan lain dalam mempertingkatkan usaha mengenal pasti dan menangani ketirisan hasil kesan daripada ekonomi bayangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, di sini, hari ini.
Guan Eng berkata, kehilangan pendapatan cukai daripada aktiviti ekonomi yang dihasilkan daripada sektor tersembunyi, tidak formal dan sukar dikesan ini akan mengancam kestabilan ekosistem percukaian negara khususnya dalam aspek keadilan cukai dan kadar pematuhan cukai.
“Saya bersedia memberikan sokongan dan bantuan, sekiranya wujud sebarang masalah dalam mendapatkan kerjasama yang sepatutnya daripada agensi kerajaan lain ke arah mencapai matlamat terbabit,” katanya.
Guan Eng berkata, walaupun saiz ekonomi Malaysia terus meningkat setiap tahun, kadar peningkatan peratusan kutipan cukai berbanding KDNK tidak menunjukkan kaitan yang sepatutnya.
Sebagai contoh, berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia bagi tahun 2017, walaupun saiz ekonomi Malaysia mencecah RM1.353 trilion, nisbah cukai kepada KDNK Malaysia hanya berada pada paras 13.1 peratus.
Keadaan ini meletakkan Malaysia berada di bawah negara-negara perbandingan yang lain seperti Vietnam, Chile, Poland dan Korea Selatan yang masing-masing mencatatkan 19 peratus, 17.4 peratus, 16.8 peratus dan 15.4 peratus.
Antara faktor yang menyumbang kepada perkara itu adalah dasar pemberian insentif cukai yang agresif, penurunan kadar cukai setiap tahun, ketirisan hasil ekoran aktiviti pelarian dan pengelakan cukai serta kadar pematuhan cukai yang masih rendah di negara ini.
“Bagi mengatasi isu ini, kerajaan akan sentiasa merangka dasar fiskal yang dapat memelihara kepentingan semua pihak.
“Antaranya memperkemas dasar rasionalisasi insentif cukai pelaburan ke arah mewujudkan tadbir urus pemberian insentif yang holistik dan menguntungkan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata, kerajaan setuju untuk menetapkan sasaran kutipan hasil cukai langsung bagi 2020 sebanyak RM154.676 bilion berbanding RM147 bilion pada 2019.
“LHDN masih mempunyai peluang untuk mempertingkatkan kutipan hasil tahun ini. Jika tahun lalu, sumbangan kutipan cukai langsung kepada KDNK sebanyak 9.61 peratus, maka tahun ini dengan saiz ekonomi Malaysia pada RM1.607 trilion, sasaran RM154.676 bilion dijangka mewakili 9.63 peratus daripada KDNK negara.
“Saya yakin kutipan cukai mampu dipertingkat tahun ini yang mana ia sudah terbukti melalui peningkatan trend kutipan (cukai) langsung sejak tiga tahun iaitu RM123.311 bilion pada 2017, RM137.034 bilion (2018) dan RM145.078 tahun lalu,” katanya. – BH Online