Monday, January 20, 2025

Creating liberating content

Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan...

PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menolak permohonan Pengerusi Perikatan Nasional...

Lorong Tikus Masih Dibuka,...

PADANG BESAR - Lorong tikus ini tersembunyi di sebalik hutan di belakang sebuah...

Video: Pengasuh Suntik Punggung...

VIDEO seorang penjaga wanita di sebuah pusat asuhan di Venezuela memberi hukuman melampau...

Perhimpunan Agung UMNO Masuk...

KUALA LUMPUR - Selepas dua hari bersidang, Perhimpunan Agung UMNO 2016 memasuki hari...

Saksi Sahkan Perkahwinan Bung Moktar, Zizie Izette

KUALA LUMPUR – Perbicaraan hari pertama kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad dimulakan dengan pengesahan perkahwinan pasangan itu.

Pengesahan itu dilakukan Penolong Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Abd Nasir Abdullah, 42, selaku saksi pertama pada perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mohd Nasir ketika membacakan pernyataan saksi berkata, berdasarkan surat perakuan nikah, Bung Moktar dan Zizie Izette bernikah pada 9 Jun 2010.

Katanya, nama wali bagi perkahwinan pasangan ini adalah Samzy Fuzette Abd Samad dan saksi Shari Ahmad serta Ahmad Shahazami.

“Surat perakuan nikah ini akan dikeluarkan JAWI apabila mendapat perintah kehakiman daripada Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan.

“Perkahwinan Bung Moktar dan Zizie Izette adalah sah mengikut hukum syarak,” katanya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Terdahulu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry mengenai status perkahwinan pasangan itu, saksi itu memberitahu perkahwinan mereka adalah sah.

Mohamad Fadhly: Boleh bacakan penama dalam salinan surat akuan nikah ini?

Mohd Abd Nasir: Nama pasangan berkahwin dirujuk dalam dokumen ini adalah Moktar Radin dan Zizie Izette

Mohamad Fadhly: Apakah status didaftarkan dalam salinan surat akuan nikah ini?

Mohd Abd Nasir: Status pasangan ini adalah suami isteri.


Terdahulu, pada prosiding perbicaraan bermula kira-kira jam 9.15 pagi itu, Bung Mokhtar dan Zizie Izette, mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan pindaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM262,500 daripada individu sama, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan bersambung esok. – BH Online

Kategori