PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan serangan udara Amerika Syarikat (AS) yang membunuh pemimpin tertinggi tentera Iran, Qasem Soleimani di Baghdad, Iraq pada Jumaat lalu sebagai tindakan tidak bermoral.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu hanya akan meningkatkan lagi keganasan dunia apabila Iran turut membuat ancaman untuk menyerang balas perbuatan AS.
Beliau menyamakan tindakan AS itu sama seperti kes pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi di Turki pada Oktober 2018.
Media sebelum ini melaporkan Khashoggi, 59, penulis dengan Washington Post dibunuh di Istanbul, Turki pada Oktober 2018. Mayatnya dipotong-potong oleh skuad 15 orang dalam Konsulat Arab Saudi dan tidak pernah ditemui.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati terhadap lima orang kerana membunuh wartawan berkenaan.
“Ia adalah tindakan di mana sebuah negara membuat keputusan membunuh ketua sesebuah negara di negara lain, sama seperti pembunuhan Kashoggi yang dibunuh di negara lain.
“Kali ini, negara itu (AS) ambil keputusan untuk membunuh ketua dari negara lain. Jadi ini adalah tindakan tidak bermoral, menyalahi undang-undang,” kata Dr. Mahathir.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR), di sini, hari ini.
Beliau mengulas ancaman terbaru Presiden AS, Donald Trump untuk menyerang Iran dengan lebih hebat jika negara itu membalas dendam.
Iran sebagai tindak balas terhadap serangan itu, menawarkan ganjaran AS$80 juta (RM328 juta) kepada sesiapa yang berjaya membunuh Trump.
Dr. Mahathir menegaskan, sudah tiba masanya untuk negara-negara Islam bersatu tetapi perkara itu tidak berlaku.
“Kita dapati ada tindakan diambil oleh individu yang begitu berkuasa, bertentangan dengan undang-undang negaranya dan undang-undang dunia yang mana buat masa ini, kita tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya.
“Sesiapa pun tidak selamat sekarang. Sebagai contoh, jika ada orang menghina atau tidak sependapat atau tidak suka, tidak menjadi kesalahan untuk orang itu menghantar dron dan menembak sesuka hati,” katanya. – BH Online