DUSHANBE – Wanita dipercayai tertua di dunia, Fotima Mirzokulova meninggal dunia di Tajikistan, pada usianya 126 tahun, lapor Daily Mail.
Warga emas berkenaan dikatakan wanita terakhir dilahirkan pada abad ke-19.
Berdasarkan maklumat dalam pasport, wanita itu dilahirkan pada 13 Mac 1893 di Tsarist Russia.
Dia hidup pada zaman era Soviet Union, sebelum Tajikistan mencapai kemerdekaan pada 1991.
Wanita itu dikebumikan Sabtu lalu di bandar Dakhana utara Tajikistan berdekatan sempadan Uzbekistan.
Mirzokulova meninggalkan lapan anak dan lebih 200 cucu dan cicit.
Sebelum ini, wanita tertua Jeanne Louise Calment yang dilahirkan pada Februari 1875 dari Perancis meninggal dunia pada usianya 122 pada Ogos 1997.
Wanita tertua yang masih hidup hari ini merekodkan nama dalam Guinness World Records ialah Kane Tanaka dari Jepun, berusia 117 tahun.
Tanaka seperti dilaporkan sebuah stesen televisyen tempatan menyambut kelahirannya awal bulan ini dengan sekeping kek di rumah orang tua.
Sementara itu, lelaki tertua dunia Masazo Nonaka yang direkodkan Guinness World Records pada April 2018 meninggal dunia Januari tahun lalu pada usianya 113.
Dia dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di rumahnya di Ashoro, kepulauan Hokkaido, utara Jepun. – Agensi