SANDAKAN – Tiga beranak rentung dan seorang lelaki cedera dalam kebakaran di sebuah perkampungan di atas air di Batu Sapi dekat sini, kira-kira 6.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin berkata mangsa yang rentung dikenali sebagai Afikah Sulaiman, 20, dan anaknya Nurul Katrishah Aiman, 3, serta Mohd Sharil Aiman, setahun.
Katanya, mayat tiga beranak itu telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat, manakala seorang lelaki berusia 50 tahun yang melecur menerima rawatan di hospital sama.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata wanita bersama dua anaknya itu dipercayai mengalami kesukaran bernafas sebelum ditemukan mati dalam salah sebuah rumah ketika kebakaran membabitkan 30 buah rumah.
“Panggilan kecemasan diterima pukul 6.34 pagi di Kampung Seng Kee, Tanah Merah, Batu Sapi dan pasukan bomba tiba di tempat kejadian pukul 6.49 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Punca kebakaran masih lagi disiasat.