MANJUNG – Polis berjaya melumpuhkan sindiket memproses pelbagai jenis dadah didalangi tiga lelaki yang beroperasi di sebuah makmal di ladang berhampiran kolam udang di Kampung Deralik, Sitiawan, kelmarin.
Dalam operasi yang bermula 2 hingga 9 malam itu, polis turut merampas lebih 183 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM15.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata tiga lelaki berusia 40 hingga 60 tahun terbabit ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Sitiawan.
“Hasil serbuan yang dijalankan merampas 55.62 kg membabitkan 185,400 biji pil esctasy, serbuk dadah methaphatemine (80.7kg) dan serbuk ketamin (11.1kg).
“Selain itu, turut dirampas adalah cecair methaphatemine (30.68 kg) serta ketulan dadah dipercayai methaphatemine (5kg). Semua rampasan dadah ini dianggarkan bernilai lebih RM15.5 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung, Manjung hari ini.
Mohd Khalil berkata, selain dadah, polis turut menyita wang tunai dan dua kereta bernilai RM28,000 selain peralatan serta mesin memproses dadah dalam serbuan berkenaan.
“Selain itu, turut dirampas adalah bungkusan serbuk putih seberat 462 kg, cecair kimia (160 liter), cecair metanol (enam liter), cecair acetone (40 liter) dan cecair hydrochloric asid (43 liter). Jumlah dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 37,622 penagih.
“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan positif dadah dan dua daripada mereka juga mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.
Katanya, kegiatan sindiket itu dikesan sejak tiga bulan lalu namun pihaknya percaya sindiket berkenaan sudah lama beroperasi di kawasan ladang berkenaan bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Polis percaya dadah yang diproses itu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa selain turut disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.
“Polis kini dalam proses siasatan untuk mengesan individu lain yang dipercayai terbabit sebagai pengedar dan pembekal,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 10 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BH Online