SHAH ALAM – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin tidak setuju dengan cadangan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyertai PAS dan UMNO untuk menubuhkan Pakatan Nasional.
Tegas beliau, pengundi sudah memberikan mandat mereka kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan keutamaan perlu diberikan untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
“Rakyat mahu kebajikan mereka dijaga dan kerajaan menjadi stabil serta kuat tetapi ketika ini keyakinan terhadap kerajaan rendah kerana pasukan dalam kerajaan dilihat tidak bersatu,” katanya dalam satu temubual bersama akhbar Sin Chew.
Dalam pada itu, Daim mendesak supaya kerajaan untuk berhenti menyalahkan pentadbiran terdahulu ekoran daripada pelbagai masalah yang melanda negara pada ketika ini.
“Kita mestilah bergerak ke hadapan dan berterusan membangunkan negara. Kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah yang boleh diselesaikan ketika ini,” katanya.
Menurutnya, menteri Kabinet perlu menunjukkan prestasi kerana beliau menerima laporan ada antara mereka kini bukan sahaja angkuh malah enggan menerima pandangan orang ramai.
“Saya tahu orang ramai tidak gembira. Mereka beranggapan sesetengah menteri telah menjadi angkuh dan tidak mendengar. Pada mereka ada antara pemimpin ini ketika menjadi pembangkang mudah untuk ditemui. Mengapa mereka jadi begini sekarang?
“Mereka tidak pernah menjawab surat dan mendakwa sangat sibuk. Ya mereka ada tugas yang perlu dilaksanakan, menjadi menteri Kabinet memang sibuk tetapi mereka tidak boleh lupa bahawa mereka perlu berkhidmat untuk rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat,” katanya.
Sementara itu, Daim turut menyarankan kerajaan untuk meningkatkan usaha dalam perhubungan awam untuk memberikan penjelasan tentang reformasi yang telah dilaksanakan.
Katanya yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, perkara itu perlu dilakukan terutama bagi perubahan yang mengambil masa yang lama dan kompleks untuk dilaksanakan.
“Semua menteri mempunyai setiausaha akhbar, mereka perlu menerangkan apa yang berlaku kepada media. Masalah sekarang ialah komunikasi yang sangat teruk. Ada pihak beritahu saya mereka tidak gembira,” katanya.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan tetap teguh membawa usul percaya kepada Dr. Mahathir walaupun ada sesetengah pihak dilihat ‘penakut’ dengan tindakan parti itu.
Beliau berkata, ia adalah salah satu proses demokrasi yang membuka peluang kepada ahli-ahli Parlimen memberi undi kepercayaan tersebut.
Menurutnya, berbeza dengan PAS, parti itu tidak gentar dan takut sekiranya usul itu tidak mendapat sokongan.
“Kita tak takut, orang tak sokong pun tak apa sebab kita sudah biasa dengan kalah. Apa yang penting, kita nak selamatkan negara. Bukan sahaja orang Melayu orang Islam termasuk kaum lain.
“Adalah lebih baik kita memberi undi kepercayaan kepada perdana menteri yang sudah ada pengalaman memerintah paling lama.
“Bukan tak ada masalah sepanjang dia perintah, tapi Dr. Mahathir dapat mengatasinya, itu yang kita yakin,” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Rusila di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pihak tertentu yang dilihat ‘penakut’ kepada usul percaya terhadap Perdana Menteri itu.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan supaya Dr. Mahathir terus diberi kepercayaan memimpin negara sehingga habis penggal.
Malah, katanya, cadangan PAS adalah munasabah kerana mengikut contoh Parlimen Lubnan yang baru sahaja membuat undi percaya kepada perdana menterinya beberapa hari lalu. – Sinar Harian